Kongres TCM Dunia ke-20 Buka Tirai di Filipina
Kongres Pengubatan Cina Tradisional (TCM) Dunia ke-20 membuka tirainya di Manila, ibu negara Filipina pada Selasa.
Persidangan yang bertemakan "Kesihatan untuk semua: menyepadukan pengubatan tradisional ke dalam penjagaan kesihatan sejagat" ini berfokus kepada topik-topik tentang warisan dan inovasi TCM dan integrasi antara TCM dan pengubatan Barat.
Pengerusi Persatuan TCM dan Akupunktur Filipina, Zheng Qiming berkata, persidangan yang berrtujuan menggalakkan pertukaran akademik dan perkongsian pengalaman ini, bukan sahaja dapat menggalakkan penyelidikan TCM secara saintifik, tetapi juga membantu meningkatkan status TCM dalam sektor pengubatan global.
Duta Besar China ke Filipina, Huang Xilian menzahirkan harapan agar China dan Filipina memperkasa kerjasama dan pertukaran dalam bidang pengubatan dan kesihatan, menggalakkan usaha saling belajar dan menimba pengalaman antara TCM dan pengubatan tradisional Filipina demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat China dan Filipina serta pembinaan komuniti kesihatan sesama insan.
Temasya yang melibatkan sesi laporan tema, seminar khas serta pameran produk TCM dan produk budaya dan kreatif ini dianjurkan oleh Gabungan Persatuan TCM Sedunia (WFCMS) dengan dibantu oleh Persatuan TCM dan Akupunktur Filipina.