APEC Suntik Penggerak Baharu kepada Pertumbuhan Dunia

2023-11-15 16:06:03  CRI
Share with:

Mesyuarat Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-30 akan diadakan di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) pada 15 hingga 17 November ini. 

Atas undangan Presiden AS Joe Biden, Presiden China Xi Jinping akan menghadiri mesyuarat kali ini dan menyampaikan ucapan penting, membentangkan pandangan China dalam memperkasakan kerjasama Asia Pasifik serta mendorong pertumbuhan serantau dan dunia.

APEC merupakan platform kerjasama ekonomi yang penting di rantau Asia Pasifik. Visi asal penubuhan organisasi itu adalah mendorong keterbukaan dan kerjasama ekonomi di rantau ini. 

Matlamat Bogor yang dicapai pemimpin anggota-anggota APEC pada 1994 menuntut anggota maju mewujudkan kebebasan perdagangan dan pelaburan menjelang tahun 2010, dan anggota membangun menjelang 2020.

Sempena Matlamat Bogor akan berakhir pada tahun 2020, pemimpin-pemimpin APEC meluluskan Wawasan Putrajaya 2040 di Malaysia. Wawasan tersebut bersasaran untuk "menubuhkan sebuah komuniti Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman menjelang 2040 demi kemakmuran semua rakyat dan generasi akan datang semua anggota". 

Mesyuarat pemimpin tahun ini menegaskan, APEC komited mewujudkan misi organisasi ini melalui tiga saluran iaitu “perdagangan dan pelaburan”, “inovasi dan pendigitalan” serta “pertumbuhan yang kuat, seimbang, selamat, berterusan dan inklusif”.

Dari Matlamat Bogor ke Wawasan Putrajaya 2040, dari penyelarasan dasar ekonomi makro ke pembinaan kawasan perdagangan bebas yang berstandard tinggi, rantau Asia Pasifik berjaya mengekalkan pembangunan pesat dalam jangka masa yang agak panjang. 

Dalam tempoh lebih tiga dekad lalu, APEC mendorong Asia Pasifik berkembang sebagai rantau yang paling dinamik dalam ekonomi dunia, sekali gus mendorong integrasi ekonomi serantau.