Xi, Biden Bincang Hubungan Dua Hala, Urusan Global dalam Pertemuan di San Francisco

2023-11-16 14:09:43  CRI
Share with:

Presiden China Xi Jinping mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS) Joe Biden di Estet Filoli pada Rabu waktu tempatan. 

Kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan secara terus terang dan mendalam mengenai isu strategik dan komprehensif yang berkait rapat dengan hala tuju perkembangan hubungan kedua-dua negara serta isu-isu penting yang berkaitan dengan kedamaian dan pembangunan dunia.

Xi mengatakan bahawa dunia kini mengalami perubahan yang tidak pernah berlaku dalam seabad lalu. Terdapat dua pilihan bagi China dan AS: Pertama adalah kedua-dua negara meningkatkan perpaduan dan kerjasama, berganding bahu untuk menghadapi cabaran global, serta menggalakkan keselamatan dan kemakmuran dunia. Satu lagi adalah mengamalkan mentaliti campur tolak (zero-sum), mencetuskan konflik antara blok, sehingga membawa dunia ini ke kancah pergolakan dan pemecahbelahan.

Dua pilihan tersebut menandakan dua arahan dan bakal menentukan takdir manusia dan masa depan Bumi kita. Hubungan China-AS, sebagai hubungan dua hala yang paling penting di dunia, harus dilihat dan dirancang dengan mengambil kira latar belakang tersebut, kata Xi. 

Bagi China dan AS, membelakangi antara satu sama lain bukanlah pilihan, dan percubaan untuk mengubah pihak lain juga adalah tidak realistik. Konflik dan konfrontasi akan membawa akibat yang tidak boleh ditanggung oleh kedua-dua negara. Persaingan kuasa besar tidak dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh China dan AS, mahupun dunia. Bumi ini cukup besar untuk menampung kedua-dua negara ini, dan kejayaan sebuah negara juga peluang bagi pihak lain.

Dalam pertemuan itu, Presiden Xi memberi huraian tentang intipati modenisasi ala China, serta prospek pembangunan dan tujuan strategik negara ini.

Beliau mengatakan, pembangunan China adalah mengikuti logik dalaman dan dinamik sendiri. China sedang memperkasakan kebangkitan nusa dan bangsa melalui modenisasi ala China. China tidak akan mengikuti jalan lama penjajahan dan rampasan, atau jalan songsang hegemoni, tidak akan mengeksport ideologi. China juga tidak mempunyai rancangan untuk melangkaui atau menggantikan AS, dan AS dikehendaki tidak mempunyai niat untuk mengekang China.

Xi mengatakan bahawa saling hormat, wujud bersama secara damai, dan sama menang, adalah pengajaran yang diperoleh daripada hubungan China-AS dalam lima dekad lalu dan konflik antara negara-negara besar.

Di San Francisco, China dan AS perlu mempunyai wawasan baharu dan memupuk lima tonggak bagi hubungan kedua-dua negara.

Pertama, bersama-sama membina persepsi yang betul. China secara konsisten komited untuk membina hubungan yang stabil, sihat dan mampan dengan AS. Sementara itu, China mempunyai kepentingan yang perlu dipeliharan, prinsip yang perlu dibela, dan garis bawah yang perlu dipertahankan. China dan AS patut menjadi rakan yang saling hormat dan wujud bersama secara damai.

Kedua, bersama-sama mengawal perselisihan pendapat dengan berkesan. Perselisihan pendapat tidak wajar menjadi jurang di antara kedua-dua negara ini. Sebaliknya jambatan seharusnya dibina untuk merapatkan kedua-dua negara. China dan AS perlu memahami prinsip dan garis bawah antara satu sama lain, mengelak daripada menimbulkan masalah atau melampaui garisan. Pada masa sama, kedua-dua pihak harus mengadakan lebih banyak komunikasi, dialog dan permuafakatan, mengendalikan perselisihan pendapat dan peristiwa yang tidak diingini secara bertenang.

Ketiga, bersama-sama memperkasakan kerjasama saling menang. China dan AS mempunyai kepentingan bersama yang meluas dalam sektor-sektor tradisional seperti ekonomi dan perdagangan serta pertanian, tetapi juga dalam pelbagai bidang baharu seperti perubahan iklim dan kecerdasan buatan (AI). Pada masa ini, kepentingan bersama kedua-dua negara bukanlah berkurang, sebaliknya bertambah banyak. China dan AS perlu memanfaatkan mekanisme yang dibina atau disambung semula dalam bidang diplomatik, ekonomi, kewangan, perniagaan dan pertanian, di samping mengadakan kerjasama dalam bidang antidadah, penguatkuasaan undang-undang, AI, sains dan teknologi dan lain-lain.

Keempat, bersama-sama memikul tanggungjawab negara besar. Penyelesaian masalah yang dihadapi oleh komuniti umat manusia memerlukan kerjasama antara negara besar. China dan AS patut menjadi teladan baik, meningkatkan koordinasi dan kerjasama dalam isu serantau dan antarabangsa, menyediakan lebih banyak produk awam kepada masyarakat antarabangsa. Selain itu, inisiatif yang dikemukakan oleh kedua-dua negara perlu saling terbuka dan membentuk sinergi agar memberikan limpahan manfaat kepada seluruh dunia.

Dan kelima, bersama-sama mempromosi interaksi dalam kalangan rakyat. Langkah-langkahnya termasuk menambah penerbangan antara kedua-dua negara, mendorong kerjasama pelancongan, memperluas komunikasi tempatan, meningkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan dan urusan orang kelainan upaya (OKU), di samping menggalakkan interaksi dan pertukaran lawatan dalam rakyat kedua-dua negara agar meletakkan asas yang kukuh kepada perkembangan hubungan China-AS yang sihat.

Presiden Xi juga mengulangi prinsip dan pendirian China dalam isu Taiwan. Menurutnya, isu Taiwan tetap menjadi isu yang paling penting dan sensitif dalam hubungan China-AS. China memberikan perhatian tinggi terhadap sikap positif AS sempena pertemuan pemimpin di Bali tahun lepas. AS dikehendaki menjadikan kenyataan tidak menyokong “kemerdekaan Taiwan” tindakan konkrit, berhenti memberikan senjata kepada Taiwan, dan menyokong penyatuan semula China secara damai.

China pasti akan mewujudkan penyatuan semula, dan ini tidak boleh dihalang, kata Xi.

Presiden Xi menyatakan, AS mengambil tindakan ke atas China seperti kawalan eksport, semakan pelaburan, dan sekatan sepihak, secara serius menjejaskan kepentingan sah negara ini. Menyekat sains dan teknologi China adalah mengekang pembangunan berkualiti China dan merampas hak pembangunan rakyat China. Pembangunan dan pertumbuhan China mempunyai logik dalamannya dan tidak dapat dihalang oleh kekuatan luar. AS diharap mengambil berat kebimbangan China, mengambil tindakan konkrit, menarik balik sekatan sepihak dan menyediakan persekitaran yang adil, saksama dan tanpa diskriminasi kepada syarikat China.

Presiden Biden dalam pertemuan itu menyatakan bahawa hubungan AS-China ialah hubungan dua hala yang paling penting di dunia. Konflik AS-China bukanlah tidak dapat dielakkan. China yang stabil dan membangun sesuai dengan kepentingan AS bahkan dunia, manakala pertumbuhan ekonomi China bermanfaat kepada AS dan dunia.

Mengekalkan hubungan stabil antara AS dan China, mengelakkan konflik, mengawal perselisihan pendapat, menjalankan kerjasama dalam sektor yang memenuhi kepentingan bersama akan membantu kedua-dua negara ini menangani masalah yang dihadapi masing-masing atau bersama, ujar Biden.

Dalam pada itu, Biden mengulangi komitmennya yang dibuat dalam pertemuan pemimpin di Bali, iaitu AS tidak mengejar 'Perang Dingin baharu', tidak mahu mengubah sistem China, tidak menentang China melalui pengukuhan pakatan, tidak menyokong 'kemerdekaan Taiwan', dan tidak berniat untuk berkonflik dengan China.

Beliau menegaskan, ekonomi AS dan China saling bergantung, dan pihaknya gembira melihat China mencapai pembangunan dan kemakmuran, tidak mahu menindas atau mengekang pembangunan China, dan juga tidak mahu mencantas hubungan dengan China.

Menurut beliau, AS mempertahankan dasar satu China, mengalu-alukan pelbagai jabatan dan peringkat kedua-dua negara mengadakan dialog, dan bersedia mengekalkan komunikasi terbuka dan terus terang dengan China demi meningkatkan persefahaman dan mengurangkan salah faham. 

Dalam pada itu, presiden AS itu komited untuk meningkatkan hubungan ekonomi dan perdagangan dengan China, merapatkan kerjasama dalam sektor perubahan iklim, antidadah, dan AI. 

Pemimpin kedua-dua negara mengiktiraf usaha yang dilakukan oleh kumpulan kerja masing-masing untuk menetapkan prinsip panduan hubungan China-AS sejak pertemuan pemimpin di Bali, dan menekankan mustahaknya untuk saling hormat, wujud bersama secara damai, mengekalkan komunikasi, mengelakkan konflik, mematuhi Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selain menjalankan kerjasama dalam bidang-bidang yang memenuhi kepentingan bersama, serta mengawal unsur persaingan dalam hubungan dua hala dengan sikap bertanggungjawab. 

Pemimpin China dan AS komited mempergiat dialog dan kerjasama dalam pelbagia sektor, antaranya termasuk: mewujudkan mekanisme dialog antara kerajaan dalam bidang AI, menubuhkan kumpulan kerja bagi mempergiat kerjasama antidadah, menyambung semula komunikasi peringkat tinggi tentera kedua-dua negara berdasarkan prinsip sama rata dan saling hormat, bersetuju untuk menambah penerbangan antara kedua-dua negara bermula awal tahun depan, meningkatkan pertukaran dalam kalangan pendidikan, pelajar, belia, kebudayaan, sukan, dan perniagaan.

Xi dan Biden turut menekankan pentingnya usaha bersama untuk menghadapi perubahan iklim, bertukar-tukar pandangan mengenai konflik Palesitin-Israel, dan isu antarabangsa dan serantau yang lain.