Xi, Joe Biden Mulakan Pertemuan

2023-11-16 04:35:06  CRI
Share with:


Presiden China, Xi Jinping telah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat(AS), Joe Biden di Estet Filoli, San Francisco AS pada pagi 15 November waktu tempatan.

Presiden Xi berkata, sudah satu tahun sejak pemimpin kedua-dua negara mengadakan pertemuan di Pulau Bali, Indonesia.

“Dalam tempoh setahun ini, walaupun dunia kini sudah keluar dari belenggu pandemik COVID-19, namun masih terpengaruh olehnya.

“Di samping itu, daya motivasi pemulihan ekonomi global tidak mencukupi, sehingga rantaian perindustrian dan bekalan terjejas, bertambah pula kebangkitan fahaman perlindungan,” kata Xi.

Xi berpendapat, sebagai hubungan bilateral yang paling penting di dunia, hubungan China-AS perlu dipertimbangkan dan dirancang berlatarbelakangkan perubahan situasi dunia yang semakin pesat demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara dan memikul tanggungjawab  untuk kemajuan umat manusia.

“Perkembangan hubungan China-AS bukan sentiasa berjalan lancar pada lebih 50 tahun yang lalu, sebaliknya berkembang ke hadapan secara berliku-liku yang pernah menghadapi bermacam-macam masalah.

“Sebagai dua kuasa besar, kedua-dua negara ini mustahil tidak melakukan pergaulan atau berniat untuk mengubah pihak yang lain, dan kedua-dua negara ini tidak boleh menanggung akibat konflik dan konfrontasi,” kata Xi.

Xi menegaskan, persaingan antara kuasa besar tidak selari dengan arus zaman dan tidak dapat menangani masalah yang dihadapi oleh China dan AS, bahkan dunia.

"Bumi ini dapat menampung China dan AS, dan kejayaan yang dicapai negara masing-masing merupakan peluang antara satu sama lain. 

"China dan AS berbeza dari segi sejarah, kebudayaan, sistem sosial, dan laluan pembangunan, namun, asal saja kedua-dua pihak berpegang kepada sikap saling menghormati, wujud bersama secara damai dan kerjasama bagi situasi sama menang, kedua-dua negara dipercayai dapat mengatasi perbezaan dan mendapat kaedah pergaulan yang tepat. Saya yakin, masa depan hubungan China-AS adalah cerah.

"Presiden Biden dan saya menerajui perkembangan hubungan China-AS, dan kita sama-sama memikul tanggungjawab terhadap rakyat, dunia, dan sejarah.

“Saya berharap dapat bertukar-tukar pandangan secara mendalam dengan Presiden Biden mengenai isu-isu hubungan bilateral yang bersifat strategik, komprehensif dan menggariskan hala tuju perkembangan, serta isu-isu utama yang berkaitan dengan keamanan dan pembangunan dunia demi mencapai konsensus baharu," kata beliau.