Xi Sampaikan Ucapan Bertulis kepada Sidang Kemuncak CEO APEC

2023-11-17 04:58:53  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping telah menyampaikan ucapan bertulis yang bertajuk "Bergotong-royong Harungi Cabaran bagi Buka Lembaran Baharu Kerjasama Asia Pasifik" kepada sidang kemuncak CEO Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang berlangsung di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) pada pagi 16 November waktu tempatan.

Xi menekankan bahawa dunia sedang masuk ke fasa pembaharuan dan pergolakan yang baharu.

“Hala tuju perkembangan kerjasama Asia Pasifik pada 30 tahun yang akan datang dilihat menjadi soalan dihadapi pelbagai pihak terlibat. 

“Sehubungan itu, pelbagai pihak dicadangkan berpegang kepada aspirasi asal APEC dan mendorong kerjasama Asia Pasifik terus berkembang maju,” kata Xi.

Xi juga mencadangkan pelbagai pihak yang terlibat bersama-sama memelihara manifesto dan prinsip yang termaktub dalam Piagam PBB, meneruskan jalan pergaulan sesama negara yang berdialog bukan berkonfrontasi, menjalin perkongsian bukan pakatan bagi mengekalkan kemakmuran dan kestabilan rantau Asia Pasifik.

“Pada masa yang sama, rantau ini tidak sepatutnya dijadikan padang pergelutan permainan geopolitik, apata lagi ‘Perang Dingin Baharu’ dan konfrontasi blok.

“Pelbagai pihak perlu berpegang teguh pada fahaman keserantauan yang terbuka, mendorong proses pembentukan zon perdagangan bebas Asia Pasifik, membangunkan ekonomi Asia Pasifik yang terbuka, bekerjasama untuk mewujudkan situasi sama menang,” kata Xi.

Selain itu, pelbagai pihak juga dicadangkan mendorong transformasi dan pembangunan yang berorientasikan pendigitalan, kepintaran dan hijau, meningkatkan inovasi dalam sektor sains dan teknologi, memperkasakan integrasi antara ekonomi digital dengan ekonomi sebenar, bekerjasama meningkatkan tadbir urus dalam bidang sains teknologi global bagi mewujudkan persekitaran pembangunan sains teknologi yang terbuka, saksama, adil dan bebas daripada diskriminasi.

Xi menegaskan, sejak tahun ini, prestasi ekonomi kekal mampan dan pembangunan berkualiti tinggi digalakkan dengan bersungguh-sungguh di China.

“China tetap merupakan enjin terbesar bagi pertumbuhan ekonomi sejagat berikutan kelebihan yang wujud dalam pelbagai bidang di negara ini. Pertumbuhan ekonomi China mempunyai momentum yang kuat, daya tahan yang tinggi dan potensi yang besar.

“China komited memperkasakan keterbukaan yang bertaraf tinggi, mewujudkan suasana perniagaan yang berorientasikan pasaran dan bertaraf antarabangsa di sisi undang-undang, mengekalkan dasar tentang menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelabur asing.

“China mengalu-alukan kalangan industri dan perniagaan pelbagai negara mengambil bahagian dalam proses modenisasi ala China dan berkongsi peluang yang dibawa pembangunan berkualiti tinggi dengan China,” kata Xi.