China dan AS Boleh Bersaing Secara Sihat dan Adil

2023-11-17 14:50:30  CRI
Share with:


Di Nanjing, China, terdapat sebuah patung yang kelihatan sedang melemparkan bola dalam permainan baseball ke arah Amerika Syarikat(AS), manakala di Saint Louis, AS pula ada sebuah patung memegang pemukul bola yang bersiap untuk menghadapi bola dari Nanjing. Pasangan patung ini adalah untuk memperingati ikatan muhibah bandaraya kembar tersebut.


Kedua-dua patung ini umpama hubungan antara China dengan AS. Kita mampu mempersembahkan satu pertandingan yang menarik untuk dunia, jika ada interaksi yang aktif dan peraturan yang adil.

 

Dalam tempoh lima tahun lalu, pihak AS banyak menjejaskan peraturan permainan, selain jarang memberi reaksi kepada budi bahasa China yang selalu mengutamakan kerjasama bilateral.

 

Bagaimanapun, bola yang dilemparkan oleh Presiden Xi Jinping semalam nampaknya mendapat reaksi positif dari Joe Biden.

 

Selepas pertemuan dengan Presiden Xi, Biden membuat enam hantaran secara berturut-turut melalui akaun X President Biden di platform media social itu. Dalam hantaran terkini, beliau menulis, “Presiden Xi, kita telah mengenali antara satu sama lain sejak sekian lama. Kita bukan selalu bersepakat, tapi pertemuan kita selalu berterus terang dan bermanfaat. Begitu juga pertemuan kita semalam. Negara kita mungkin dalam persaingan, tapi ini tidak bermakna kita tidak boleh bersaing dengan sikap bertanggungjawab.”

 

Pertemuan semalam mencapai lebih 20 persepakatan yang melibatkan politik, sosiobudaya, pentadbiran global, keselamatan, ketenteraan dan bidang-bidang lain. Perkara ini sekali lagi mencerminkan terdapatnya kepentingan bersama yang luas antara China dengan AS. Kedua-dua pihak wajar mengambil sikap yang saling menguntungkan.

 

Hal ini juga menyuntik unsur stabil kepada situasi semasa dunia yang penuh pergolakan. Seperti apa yang dikatakan oleh Pengerusi Persatuan Persahabatan Malaysia-China, Dato’ Abdul Majid Bin Ahmad Khan, dunia ini tidak boleh maju atau berjalan lancar tanpa kerjasama antara AS dengan China. Kuasa ekonomi nombor satu dan nombor dua ini mesti bekerjasama. Usaha untuk “reset” hubungan China-AS bukan hanya berfaedah kepada kedua-dua negara, tetapi juga membawa kesan positif kepada pelbagai negara yang mempunyai hubungan dengan kedua-dua kuasa besar ini.

 

Interaksi positif antara China dengan AS juga membantu menjayakan kerjasama Asia-Pasifik. Kita bersama-sama menetapkan Matlamat Bogor dan Wawasan Putrajaya, melancarkan perdagangan dan pelaburan, sekali gus berusaha ke arah Komuniti Asia-Pasifik. China bersedia berusaha bersama dengan pelbagai pihak lain di rantau ini, termasuk AS bagi mewujudkan matlamat tersebut, selain bersama-sama membina dunia yang damai, aman, makmur, terbuka, bersih dan indah.

 

Ekonomi China semakin pulih pada tahun ini dan tetap merupakan penjana terbesar bagi pertumbuhan dunia pada tahun ini. China menyumbang satu per tiga kepada pembangunan ekonomi global.

 

Ketika berbincang mengenai destinasi pelaburan dunia seterusnya selain China, Presiden Xi menjawab bahawa destinasi selanjutnya tetap China yang mengalami “pembangunan berkualiti tinggi”.

 

China telah menganjurkan Forum Kerjasama Antarabangsa Jalur dan Laluan (BRF) Ke-3, Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) Ke-6, dan akan menganjurkan Ekspo Perdagangan Digital Global Ke-2. China juga secara aktif menyertai kerjasama Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), berusaha menyelaraskan diri dengan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) serta Perjanjian Perkongsian Ekonomi Digital (DEPA). Semua ini memperlihatkan keterbukaan dan kesediaan China untuk berkongsi peluang pembangunan dengan dunia.

 

AS juga diharap meningkatkan kerjasama serantau dan global, serta menyediakan produk awam yang lebih banyak kepada dunia, bersikap terbuka dan menyelaraskan inisiatif dengan China agar kejayaan pembangunan kedua-dua negara menyediakan peluang lebih banyak kepada negara-negara lain.