BRI Wujudkan Kolaborasi Kalangan Rakyat: Puteri Sirindhorn

2023-11-20 15:05:09  CRI
Share with:

Pembinaan landasan kereta api yang menghubungkan China, Laos dan Thailand mempunyai makna signifikan dalam usaha menggalakkan pertumbuhan ekonomi, menurut Puteri Thailand Maha Chakri Sirindhorn.

"Peniaga buah-buahan yang saya kenali memberitahu jualan mereka turut bertambah selepas pengoperasian landasan kereta api China-Laos.

"Pembangunan landasan kereta api akan memacu pertumbuhan ekonomi, sementara rakyat China boleh menikmati lebih banyak buah-buahan Thailand," kata Puteri Sirindhorn dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG).

Beliau juga berpendapat pembinaan rel itu akan merancakkan lagi pertukaran ekonomi dan perdagangan serta aktiviti pelaburan antara Thiland dan China.

Menurut beliau, landasan kereta api China-Thailand akan bersambung dengan rel sedia ada termasuk rel China-Laos yang menghubungkan pelbagai tempat di China, malah Eropah. Justeru, ia bukan sahaja membantu menggalakkan pertumbuhan ekonomi Thailand dan China, bahkan dunia.

Mengenai Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang genap 10 tahun dikemukakan, Puteri Sirindhorn memandang inisiatif itu mewujudkan kolaborasi antara rakyat negara-negara di dunia.

"Menerusi inisiatif itu, lebih ramai warga China datang melabur di Thailand, dan lebih ramai juga warga Thailand melabur di China. Selain aktiviti perdagangan dan pelaburan, ia juga mempermudah perjalanan dan pelancongan buat rakyat," kata beliau.