China Seru Galak Kedamaian Menerusi Pembangunan Bersama

2023-11-21 13:52:05  CRI
Share with:

Pembangunan inklusif dan mampan merupakan asas bagi memastikan ketenteraman berkekalan diwujudkan, kata Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Zhang Jun.

Zhang berkata antara isu-isu panas dalam agenda Majlis Keselamatan PBB (UNSC), kebanyakannya membabitkan kawasan yang bergelut dengan masalah kemiskinan dan ketidakseimbangan pembangunan. 

"Saling hormat dan pembangunan bersama merupakan pendekatan berkesan bagi mengekalkan kedamaian dunia," kata beliau ketika berucap pada satu sesi debat umum UNSC di sini, pada Isnin.

Zhang menekankan perlunya menggerakkan pembinaan masyarakat antarabangsa yang berorientasikan pembangunan, menggalakkan semua negara menempuh jalan pembangunan bersama, sekali gus memastikan tiada satu pun negara yang ketinggalan.

Beliau turut mengulangi pendirian China terus menyokong peranan PBB dan UNSC dalam usaha memperjuangkan keamanan serta pembangunan global.

"China akan meningkatkan peruntukan sumber untuk tindakan dilaksana PBB dan negara-negara anggota menerusi Yayasan Pembangunan Global dan Kerjasama Selatan-Selatan serta Yayasan Keamanan dan Pembangunan China-PBB," kata Zhang.