Xi Seru Segerakan Gencatan Senjata di Gaza

2023-11-21 23:15:33  CRI
Share with:

Presiden China Xi Jinping menghadiri sidang kemuncak video luar biasa BRICS mengenai isu Palestin-Israel dan menyampaikan ucapan penting, di Beijing pada malam Selasa.

Beliau menyatakan bahawa dalam situasi semasa ini, adalah amat tepat pada masanya dan perlu bagi negara-negara BRICS untuk melantangkan suara adil dan damai membabitkan isu Palestin-Israel.

“Konflik di Gaza telah berlarutan selama lebih sebulan, menyebabkan kematian dan kecederaan teruk, malah menunjukkan trend meluas. China memberikan perhatian tinggi terhadap situasi di kawasan itu,” ujar Xi.

Beliau menyatakan bahawa perkara yang paling mendesak pada masa ini adalah semua pihak terlibat dalam konflik itu melaksanakan gencatan senjata dengan serta merta, menghentikan semua kekerasan dan serangan terhadap orang awam, membebaskan orang awam yang ditahan, dan mengelakkan lebih banyak kehilangan nyawa.

“Adalah perlu untuk menjamin keselamatan dan kelancaran saluran bantuan kemanusiaan, supaya penduduk Gaza dapat memperoleh lebih banyak bantuan kemanusiaan.

“Hentikan semua tindakan hukuman kolektif ke atas penduduk Gaza seperti pemindahan paksa, putus bekalan air, elektrik dan minyak,” tambah beliau.

Presiden Xi juga menyeru masyarakat antarabangsa agar mengambil tindakan praktikal untuk mencegah konflik daripada meluas sehingga menjejaskan kestabilan seluruh rantau Asia Barat.

Beliau berkata, China menyokong resolusi yang diluluskan sesi khas tergempar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai konflik Palestin-Israel pada 27 Oktober lalu. Di samping itu, China sebagai pengerusi bergilir Majlis Keselamatan PBB telah mengetuai kelulusan resolusi 2712.

“Semua pihak terlibat perlu melaksanakan resolusi itu,” tegasnya.

Presiden Xi menyatakan bahawa sejak konflik Palestin-Israel pusingan ini tercetus, China secara aktif mendorong rundingan damai dan gencatan senjata.

“Untuk meredakan ketegangan situasi kemanusiaan di Gaza, China telah menghulurkan bantuan kemanusiaan kecemasan sebanyak USD2 juta kepada penduduk Gaza melalui Pihak Berkuasa Palestin dan agensi PBB, di samping menyediakan bantuan kecemasan termasuk makanan dan ubatan bernilai RMB15 juta melalui Mesir.

“China akan terus memberikan bantuan kemanusiaan mengikut keperluan rakyat Gaza,” kata Xi.