China Perkenal Butiran Lawatan Delegasi Menteri Luar Negara Arab-Islam

2023-11-22 13:15:05  CRI
Share with:

Naib Presiden China Han Zheng dan Menteri Luar Wang Yi menerima kunjungan dan mengadakan rundingan secara berasingan dengan delegasi menteri luar negara Arab dan Islam yang memulakan lawatan di negara ini pada Isnin.

Jurucakap Kementerian Luar Mao Ning berkata pihak China dalam pertemuan berkenaan telah membentangkan saranan  bagi menangani krisis di Gaza dan menyelesaikan isu Palestin, iaitu resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Perhimpunan Agung PBB (UNGA) perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan gencatan senjata diwujudkan dengan segera.

Pihak China menekankan perlunya mematuhi undang-undang antarabangsa khususnya Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa, di samping menentang pemindahan dan penempatan semula orang awam secara paksa.

Selain itu, sebarang aturan mengenai masa depan Palestin mesti mendapat persetujuan rakyat Palestin dengan mengambil berat keprihatinan munasabah negara serantau.

Sebarang kaedah untuk menangani situasi semasa tidak boleh menyimpang daripada 'penyelesaian dua negara' dan harus bermanfaat bagi kedamaian dan kestabilan rantau.

China juga menggesa Majlis Keselamatan PBB mendengar suara negara Arab dan Islam serta mengambil tindakan bertanggungjawab bagi meredakan situasi.

Jurucakap itu berkata, menteri-menteri luar negara Arab dan Islam memberi penghargaan tinggi kepada China yang memegang pendirian adil dalam isu Palestin sejak sekian lama.

Mereka juga menyatakan hasrat untuk merapatkan koordinasi dengan China bagi mencegah krisis daripada terus merebak dan memulihkan proses rundingan damai.

Delegasi itu diketuai Menteri Luar Arab Saudi Faisal bin Farhan Al Saud dan turut disertai Timbalan Perdana Menteri Jordan merangkap Menteri Luar Ayman Safadi, Menteri Luar Mesir Sameh Shoukry, Menteri Luar Palestin Riyad Al-Maliki, Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi dan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Hissein Brahim Taha.