Cadangan China Mengenai Isu Palestin-Israel Diterima Masyarakat Antarabangsa
"Pendirian China yang adil dan saksama dalam isu Palestin-Israel dihargai negara-negara Arab dan Islam. Orang ramai berharap China dapat memainkan peranan positif yang lebih besar".
Demikian dipetik daripada ulasan akhbar Mesir, Al-Ahram berikutan Presiden China Xi Jinping menyampaikan ucapan dalam sidang kemuncak video luar biasa BRICS pada 21 November.
Konflik Palestin-Israel pusingan ini telah berlarutan selama lebih sebulan, hingga mengakibatkan lebih 15,500 orang maut, termasuk lebih 5,800 kanak-kanak di Gaza. Dalam konteks ini, Presiden Xi mengemukakan tiga perkara yang paling mendesak pada masa ini, termasuk semua pihak terlibat dalam konflik menyegerakan gencatan senjata, menjamin keselamatan dan kelancaran saluran bantuan kemanusiaan, dan mencegah konflik daripada meluas. Beliau menegaskan pentingnya usaha melaksanakan "penyelesaian dua negara", dan menggariskan hala tuju untuk menyelesaikan isu Palestin-Israel dengan berkesan.
Sehari sebelum kenyataan Presiden Xi tersebut, delegasi bersama menteri luar dari negara Arab dan Islam melawat China. Mereka memilih China sebagai destinasi pertama bagi misi pengantaraan antarabangsa membabitkan konflik Palestin-Israel, dan ini mencerminkan keyakinan tinggi mereka terhadap China dan pengiktirafan tinggi terhadap pendirian adil negara ini.
Menurut keputusan tinjauan pendapat oleh YouGov pada bulan Mei lalu, 80 peratus responden dari Palestin cenderung untuk memilih China sebagai pengantara konflik Palestin-Israel.
Mengapakah cadangan China diterima oleh kedua-dua pihak konflik dan masyarakat antarabangsa? Ini kerana China berpihak kepada keadilan dan kesaksamaan. Mengenai isu Palestin-Israel, berbeza dengan dasar "memihak" yang diamalkan Amerika Syarikat (AS), China tidak menyebelahi mana-mana pihak dan hanya berharap Palestin dan Israel dapat menghentikan konflik dan dapat wujud bersama secara damai.
Di samping itu, China telah menghulurkan bantuan kemanusiaan kecemasan sebanyak USD2 juta kepada penduduk Gaza melalui Pihak Berkuasa Palestin dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di samping menyediakan bantuan kecemasan termasuk makanan dan ubatan bernilai RMB15 juta melalui Mesir. China akan terus memberikan bantuan kemanusiaan mengikut keperluan rakyat Gaza.
China selaku presiden bergilir Majlis Keselamatan, mendesak Majlis Keselamatan PBB untuk menerima pakai Resolusi 2712 mengenai isu Palestin-Israel pada 15 November. Resolusi itu memberi tumpuan kepada kebimbangan kemanusiaan, mengutamakan perlindungan kanak-kanak, dan menyeru pelaksanaan gencatan senjata kemanusiaan di Gaza untuk jangka masa yang mencukupi.
Penganalisis berpendapat bahawa bukan mudah bagi Majlis Keselamatan untuk meluluskan resolusi tersebut. China menyumbangkan usaha besar untuk mencapai matlamat ini, sekali gus menunjukkan tanggungjawabnya negara besar dan sekali lagi membuktikan bahawa China adalah pembina keamanan dunia dan penjaga tata tertib antarabangsa.