China, Rusia Perkasa Kerjasama antara Badan Perundungan

2023-11-23 12:23:51  CRI
Share with:

Kerjasama lebih erat antara badan perundungan China dan Rusia berperanan penting dalam memastikan hubungan dua negara terus berkembang mantap.

Demikian ujar Presiden China Xi Jinping ketika bertemu Pengerusi Dewan Duma Rusia Vyacheslav Volodin di Beijing, pada Rabu.

Xi berkata beliau ingin melihat Parlimen Rusia dan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China terus mempergiat pertukaran pengalaman dalam bidang perundangan.

“Fungsi jawatankuasa khas serta kumpulan persahabatan dari badan perundangan kedua-dua negara hendaklah dioptimumkan, sebagai menyediakan sokongan undang-undang kepada kerjasama dua hala,” ujar beliau. 

Presiden China itu turut menyeru badan berkenaan bertindak bersama dalam memastikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan Kesatuan Ekonomi Eurasia diselaraskan.

Perlunya memperkasa koordinasi dan kolaborasi dalam platform pelbagai hala seperti Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), BRICS dan Kumpulan 20 (G20), tambah Xi.

Dalam pada itu, Volodin menyatakan semua pihak di Dewan Duma senada dalam memantapkan jalinan hubungan muhibah dengan China.

Menurut beliau, Rusia bersedia bersama China mengukuhkan pertukaran dan kerjasama antara badan perundangan dan parti politik, melaksanakan konsensus dicapai ketua negara, serta mengeratkan lagi persahabatan dan rasa saling percaya dalam kalangan rakyat.