PM China Seru Anggota G20 Utamakan Aspek Pembangunan

2023-11-23 14:08:13  CRI
Share with:

China akan terus bersinergi dengan semua pihak secara terbuka dan inklusif untuk membuat sumbangan lebih besar kepada pemulihan ekonomi dunia serta pembangunan dan kemakmuran global.

Demikian kata Perdana Menteri China Li Qiang ketika berucap pada Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20) secara maya di Beijing, malam Rabu.

Li berkata jalan menuju pemulihan ekonomi dunia masih penuh kegetiran buat masa ini.

Beliau menyeru supaya semua anggota G20 meletakkan pembangunan dan kerjasama sebagai keutamaan, di samping menentang amalan mempolitikkan isu pembangunan.

"Perlunya mengambil lebih banyak pendekatan praktikal bagi memastikan konsensus dicapai pada sidang kemuncak G20 di New Delhi dilaksanakan dengan baik.

"Sinergi juga perlu dibentuk untuk menegakkan multilateralisme, memperkasa kolaborasi dasar makro dan lebih prihatin terhadap kebimbangan negara membangun dalam pembaharuan institusi pelbagai hala," tambah PM Li.

Para peserta sependapat bahawa dalam senario dunia berdepan pelbagai cabaran, semua anggota perlu memaparkan semangat perpaduan dan kerjasama, mengamalkan multilateralisme serta mengintensifkan kolaborasi membabitkan perubahan iklim, ekonomi digital, pembangunan hijau dan kecerdasan buatan (AI).

Sidang kemuncak kali ini dipengerusikan Perdana Menteri India Narendra Modi dan turut dihadiri pemimpin negara anggota G20, pemimpin negara tetamu dan ketua pertubuhan antarabangsa yang berkaitan.