China Komited Menyumbang kepada Pembangunan Mampan Dagangan Digital

2023-11-24 14:44:38  CRI
Share with:

China bersedia bekerjasama dengan negara lain untuk menggerakkan pembangunan berkualiti dan mampan perdagangan digital global.

Kenyataan itu dibuat Naib Presiden China Han Zheng semasa berucap pada majlis perasmian Ekspo Perdagangan Digital Global edisi kedua di Hangzhou, pada Khamis. 

Beliau berkata China mempunyai banyak kelebihan dalam pembangunan dagangan digital termasuk sumber data dalam kuantiti besar serta pelbagai senario aplikasi pendigitalan.

"Perdagangan digital antara tiga tonggak utama ke arah mengetengahkan  China sebagai sebuah kuasa besar dalam sektor dagangan.

"Kami (China) sudi bersama negara lain untuk berusaha mewujudkan persekitaran pembangunan ekonomi digital yang terbuka, inklusif, adil dan saksama tanpa diskriminasi," kata Han.

Beliau turut memperincikan langkah-langkah yang akan diambil bagi memacu pembangunan sektor digital, antaranya termasuk mempercepat transformasi digital dan pembangunan e-dagang rentas sempadan serta menambah baik infrastruktur digital. 

"Akan wujudnya zon rintis untuk kerjasama e-dagang Jalan Sutera dan pasaran e-dagang Jalur dan Laluan dengan rakan-rakan kongsi.

"Kesemua usaha ini akan membantu menjaga keselamatan dan kestabilan rantaian perindustrian dan bekalan digital di peringkat global," jelas beliau.

Bertemakan 'Digital Trade, Global Access', ekspo berkenaan menyaksikan kehadiran kira-kira 1,000 wakil dari 63 negara dan wilayah serta 68 organisasi antarabangsa dan persatuan perniagaan asing.