Kerjasama China, Jepun, Korea Selatan Diberi Nafas Baharu

2023-11-28 15:16:17  CRI
Share with:

Menteri luar China, Jepun dan Korea Selatan kembali bertemu selepas lebih empat tahun. 

Tiga negara itu mencapai siri konsensus berhubung pemerkasaan kerjasama sempena mesyuarat menteri luar trilateral ke-10 di Busan pada Ahad.

Ramai yang berpendapat bahawa pertemuan itu mencipta syarat dan suasana yang kondusif untuk sidang kemuncak seterusnya.

Mekanisme kerjasama China-Jepun-Korea Selatan ditubuhkan pada 1999 dan berkembang menjadi mekanisme kerjasama subrantau yang paling berpengaruh di Asia, sekali gus memberi dorongan kepada pemodenan ketiga-tiga negara itu dan Asia.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, landskap politik antarabangsa banyak berubah, dengan segelintir kuasa besar dari luar rantau menghasut konfrontasi dan perpecahan di Asia hanya untuk mengejar kepentingan geopolitik.

Ditambah dengan kesan pandemik COVID-19, mekanisme mesyuarat menteri luar serta sidang kemuncak tiga negara terbantut buat sementara waktu.

Pemerhati beranggapan, konsensus penting yang dicapai ketua negara China dan Amerika Syarikat (AS) di San Francisco mewujudkan syarat luaran untuk perhubungan diplomatik antara China dengan Jepun dan Korea Selatan.

Lebih penting lagi, dalam senario pemulihan ekonomi global lembap, tiga negara berkenaan mempunyai kepentingan dan keperluan dalam memperdalam kerjasama praktikal dan mengekalkan kestabilan rantaian perindustrian dan bekalan.

Didorong oleh faktor seumpama, pertemuan peringkat tinggi antara China, Jepun dan Korea Selatan diaktifkan semula.

Sempena mesyuarat kali ini, China mengetengahkan lima cadangan berhubung pemerkasaan kerjasama tiga pihak, antaranya termasuk memulihkan secepat mungkin rundingan perjanjian perdagangan bebas China-Jepun-Korea Selatan, meningkatkan kolaborasi dalam bidang data raya, teknologi rantaian blok dan kecerdasan buatan, memperluas pertukaran sosiobudaya dan sebagainya.

Wujudnya perbezaan adalah perkara biasa. Yang lebih penting ialah untuk mengekalkan persepsi betul terhadap satu sama lain, dan jangan membiarkan perbezaan menghalang kerjasama.

China menghormati usaha Jepun dan Korea Selatan mengembangkan hubungan dengan negara lain di dunia. Namun, tidak kira apa jua jalinan sekali pun, ia tidak boleh digunakan untuk membendung atau mengekang jiran terdekatnya.

China, Jepun dan Korea Selatan merupakan jiran tetangga dan rakan kongsi dengan pertukaran dan interaksi sesama rakyat kekal rapat. 

China senantiasa bersahabat baik dengan jirannya. Sifat seumpama diharap juga dapat ditunjukkan Jepun dan Korea Selatan, sekali gus lebih bermandiri secara strategik dan bergerak sehaluan dengan China ke arah menggerakkan kerjasama mantap antara tiga negara.