CISCE Bantu Jana Pembangunan Rantaian Bekalan Global

2023-11-29 13:00:13  CRI
Share with:

Ekspo Rantaian Bekalan Antarabangsa China (CISCE) edisi pertama dirasmikan di Beijing pada Selasa.

Bertemakan 'Connecting the World for a Shared Future', ekspo selama lima hari itu menumpukan kepada teknologi, produk dan perkhidmatan baharu dalam seluruh rantaian bekalan. 

CISCE edisi kali ini meliputi kawasan seluas 100,000 meter persegi yang terdiri daripada lima zon pameran membabitkan rantaian kereta pintar, pertanian hijau, tenaga bersih, teknologi digital dan kehidupan sihat.

Presiden Majlis Penggalakan Perdagangan Antarabangsa China (CCPIT), Ren Hongbin berkata ekspo itu menarik penyertaan 515 perusahaan dari dalam dan luar negara.

Antara pengisian utama termasuk forum kumpulan pemikir, sesi pelancaran laporan mengenai penggalakan rantaian bekalan global serta lebih 20 aktiviti sampingan.

"Diharap para peserta dapat memanfaatkan platform CISCE untuk mengukuhkan kerjasama dan pertukaran sehingga mencapai lebih banyak hasil,” kata Ren.

Setiausaha Agung Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) Rebeca Grynspan menyifatkan CISCE suatu keperluan untuk menggalakkan kerjasama komuniti perniagaan global menerusi pendekatan inovatif.

"Ekspo itu menghubungkan pengeluar, pengguna dan pasaran seluruh dunia yang merupakan penggerak bagi merapatkan seluruh umat manusia," ujar beliau.

Untuk rekod, pempamer asing menyumbang 26 peratus keseluruhan peserta ekspo kali ini, kebanyakannya dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.