Menteri Luar China, Malaysia Bertemu di New York

2023-11-29 16:20:35  CRI
Share with:

China bersedia bersinergi dengan Malaysia untuk memantapkan pertukaran dan kerjasama dalam pelbagai bidang dan melonjakkan hubungan bilateral ke tahap baharu.

Demikian dinyatakan Menteri Luar China Wang Yi dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir di New York pada Selasa.

Zambry pula menzahirkan komitmen Malaysia untuk bersama China merencanakan aktiviti meraikan jubli emas ikatan diplomatik pada tahun depan, di samping mengekalkan pertukaran lawatan peringkat tinggi dan mendorong perkembangan hubungan dua hala.

Ketika bertukar-tukar pendapat mengenai konflik Palestin dan Israel, Wang berkata mengelak perang dan bencana kemanusiaan daripada terus merebak merupakan pendirian wajar bagi setiap negara yang bertanggungjawab.

Menurut beliau, mesyuarat peringkat tinggi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) berhubung isu Palestin-Israel bertujuan mendorong UNSC mencapai konsensus mengenai gencatan senjata pada peringkat lebih tinggi dan mengambil pendekatan yang lebih berkesan.

Selain memberi tumpuan kepada situasi semasa, usaha juga perlu dilakukan untuk menggerakkan pihak terbabit kembali ke 'penyelesaian dua negara' bagi memastikan isu Palestin diselesaikan secara tuntas.

Zambry berkata China mempunyai pengaruh penting di arena antarabangsa dan mengekalkan pendirian adil mengenai konflik Palestin-Israel. Beliau menghadiri mesyuarat UNSC di New York atas amanat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedia maklum bahawa China akan mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

Malaysia bersetuju dengan pendirian China iaitu UNSC perlu berusaha ke arah menamatkan perang dan mempercepat bantuan kemanusiaan.

Zambry turut menyatakan kesediaan pihaknya untuk merapatkan sinergi dengan China bagi menjayakan mesyuarat itu.