China Sokong Negara Membangun dalam Menangani Isu Perubahan Iklim

2023-11-29 12:16:30  CRI
Share with:

China merupakan penggerak kepada penanganan isu perubahan iklim global, kata jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin pada sidang akhbar Selasa.

Wang berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wartawan mengenai Loji Janakuasa Fotovolta (PV)2 Al Dhafra Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang selesai dibina oleh perusahaan China baru-baru ini, dan pihak UAE menyifatkan projek ini amat bermakna bagi negara itu yang akan mengadakan Persidangan Pihak-Pihak ke-28 (COP28) Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perubahan Iklim tidak lama lagi.

Wang menyifatkan Loji Janakuasa PV2 Al Dhafra sebagai projek PV tunggal yang terbesar di dunia dan projek penting bagi pembinaan bersama di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dalam bidang tenaga hijau.

Menurut laporan, loji itu boleh membekalkan kuasa elektrik untuk 200,000 isi rumah, mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 2.4 juta tan setahun, dan meningkatkan nisbah tenaga bersih dalam struktur penggunaan tenaga keseluruhan UAE kepada lebih 13 peratus.  

Wang berkata, China bukan sahaja mempunyai rangkaian penjanaan kuasa bersih terbesar di dunia, tetapi juga sudi menghulurkan sokongan dan bantuan sedapat mungkin kepada negara-negara membangun yang lain.

“Selain daripada Loji Janakuasa Suria PV2 Al Dhafra UAE, China juga mengambil bahagian dalam pembinaan projek tenaga bersih lain, seperti projek janakuasa angin Sachal di Pakistan, loji janakuasa haba solar Noor III di Maghribi, stesen janakuasa PV Al Kharsaah di Qatar dan loji janakuasa PV Garissa di Kenya. 

Kesemua ini merupakan gambaran hidup tentang China mengamalkan konsep pembangunan mesra alam dan menyokong pembinaan dan pengoperasian infrastruktur hijau dan rendah karbon bagi meningkatkan kerjasama antarabangsa dalam usaha menangani perubahan iklim,” kata Wang.

Wang menambah, COP28 bakal membuka tirainya di Dubai.

“Kami (China) menyokong UAE dalam menjayakan acara ini dan akan terus mendorong penyelarasan dalam pelaksanaan Laluan Sutera hijau dengan Agenda Pembangunan Mampan PBB 2030, memperkasa kerjasama praktikal dalam bidang infrastruktur hijau dan tenaga hijau, sekali guas menyumbang kepada perkembangan rendah karbon dan hijau di pelbagai negara,” kata Wang.