CISCE Gamit Kehadiran Perusahaan Asing

2023-11-30 15:03:41  CRI
Share with:

Ekspo Rantaian Bekalan Antarabangsa China (CISCE) edisi pertama berlangsung di Beijing mulai Selasa, menyaksikan jumlah pempamer dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah melepasi jangkaan dengan menyumbang 36 peratus kepada keseluruhan peserta asing.

Sebagai pameran peringkat negara pertama di dunia yang memfokuskan aspek rantaian bekalan, ekspo itu menyediakan lima zon pameran membabitkan rantaian kereta pintar, pertanian hijau, tenaga bersih, teknologi digital dan kehidupan sihat.

Dalam tempoh ekspo selama lima hari, lebih 500 perusahaan dari 55 buah negara dan wilayah tampil mempamerkan teknologi, produk dan perkhidmatan baharu masing-masing.

Beberapa jam sebelum pembukaan CISCE, Rumah Putih mengadakan mesyuarat mengenai daya tahan rantaian bekalan dengan pengumuman menubuhkan Majlis Ketahanan Rantaian Bekalan serta sistem amaran berhubung gangguan rantaian bekalan semikonduktor.

Walaupun pihak AS mendakwa langkah itu amat penting bagi ekonomi dan keselamatan negara, namun ia dianggap sebagai kesinambungan amalan perlindungan kerajaan AS.

Kehadiran perusahaan AS dan Eropah pada CISCE membuktikan bahawa cara pentadbiran tidak dapat mengubah hukum pasaran, dan mustahilnya China dikecualikan daripada rantaian perindustrian dan bekalan global.

Dalam senario wujudnya gelombang antiglobalisasi yang memberi tempias kepada rantaian perindustrian dan bekalan, ekspo itu membawa makna realistik dengan tema 'Connecting the World for a Shared Future'.

Naib Presiden Kanan FedEx Chen Jialiang memuji cadangan China untuk bersama-sama membina rantaian pengeluaran dan bekalan yang selamat dan stabil, lancar dan cekap, terbuka dan inklusif, serta saling menguntungkan.

“Ini sejajar dengan hala tuju pembangunan kami dan mengukuhkan keyakinan FedEx dalam membuat pelaburan dan mengembangkan sayap di China”, kata Chen.

Menurut Laporan Penggalakan Rantaian Bekalan Global yang dikeluarkan sempena CISCE kali ini, China menyediakan pelbagai peluang untuk kerjasama rantaian bekalan global melalui pasaran berskala besar, perindustrian lengkap, dasar pintu terbuka serta inovasi.

China akan terus mengekalkan kedudukan sebagai pasaran pengguna kedua terbesar dalam lima tahun seterusnya, dengan jumlah import dan eksport perdagangan barangan dan perkhidmatan dijangka masing-masing melebihi USD32 trilion (RM148.8 trilion) dan USD5 trilion (RM23.2 trilion).

Dengan kategori industri dan kemudahan sokongan yang paling lengkap, skala sektor pembuatan China menduduki tangga teratas di dunia selama 13 tahun berturut-turut, menyaksikan statusnya sebagai pusat pembuatan dan rantaian bekalan global makin menonjol.

Inilah sebabnya CISCE berjaya menggamit kehadiran begitu banyak perusahaan dari AS dan Eropah.