Pendirian China Jelas dalam Isu Palestin-Israel

2023-11-30 12:09:21  CRI
Share with:

Menteri Luar China Wang Yi bertemu Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres di New York pada Selasa.

Semasa pertemuan itu, Wang menyatakan pendirian China dalam isu Palestin-Israel adalah jelas dan konsisten.

"Tak boleh membiarkan perang berterusan dan perlunya mewujudkan gencatan senjata menyeluruh, mengelak malapetaka kemanusiaan daripada bertambah buruk dan membebaskan semua tahanan dan tebusan," kata Wang.

Beliau berkata, dengan membuka lebih banyak laluan sempadan dan membina mekanisme penyeliaan yang berkesan, bantuan kemanusiaan boleh memasuki Gaza tanpa halangan. 

Wang menegaskan 'penyelesaian dua negara' harus dihidupkan semula kerana ia merupakan jalan keluar bagi menyelesaikan isu Palestin-Israel.

Dalam pada itu, Guterres menzahirkan ucapan terima kasih kepada China yang mempengerusikan mesyuarat peringkat tinggi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) berhubung isu Palestin-Israel.

Beliau mengulangi PBB berpegang teguh kepada pelaksanaan 'penyelesaian dua negara' sehingga isu berkenaan diselesaikan secara tuntas.