China Tegakkan Keadilan dalam Isu Palestin -- Presiden Xi

2023-11-30 11:57:46  CRI
Share with:

Presiden China Xi Jinping berkata, China konsisten dalam pendirian menegakkan keadilan dalam isu Palestin, secara aktif menggalakkan rundingan damai dan terus menyediakan bantuan kemanusiaan dan pembangunan kepada Palestin.

Demikian ujar Presiden Xi dalam perutusan tahniah kepada Persidangan PBB untuk memperingati Hari Solidariti Antarabangsa Bersama Rakyat Palestin yang diadakan pada Rabu.

Xi menyifatkan isu Palestin sebagai isu teras kepada masalah Asia Barat yang juga melibatkan kesaksamaan dan keadilan antarabangsa.

"Konflik Palestin-Israel berpunca dari tangan ghaib yang menghalang rakyat Palestin dalam usaha merealisasikan hak mereka yang sah untuk menubuhkan satu negara yang merdeka. Berulang kali berlakunya konflik Palestin-Israel membuktikan peri pentingnya untuk menegakkan konsep keselamatan bersama bagi mewujudkan keselamatan yang mampan.

"Masyarakat antarabangsa mesti bertindak dengan segera, dan Majlis Keselamatan PBB perlu memikul tanggungjawab sepenuhnya untuk menggalakkan gencatan senjata dan menamatkan pertempuran, melindungi keselamatan penduduk awam bagi membendung bencana kemanusiaan.

"Rundingan damai Palestin-Israel perlu disambung semula dengan secepat mungkin bagi merealisasikan hak rakyat Palestin dalam menubuhkan negara, kelangsungan hidup dan kembali ke kampung halaman mereka secepat mungkin," kata Xi.

Xi menegaskan, China teguh menyokong usaha keadilan bagi memulihkan hak rakyat Palestin yang sah.

"Penyelesaian kepada isu Palestin terletak pada penubuhan negara Palestin yang merdeka yang boleh menikmati kedaulatan sepenuhnya berdasarkan sempadan 1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya.

"Perlunya memastikan pembangunan ekonomi dan mata pencarian rakyat Palestin terjamin, dan masyarakat antarabangsa perlu meningkatkan bantuan kemanusiaan dan pembangunan kepada Palestin. 

"Selain itu, landasan rundingan damai yang betul perlu dikekalkan dan persidangan damai antarabangsa yang lebih berwibawa perlu diadakan secepat mungkin," kata Xi.

Xi menambah, China yang mengemukakan Inisiatif Keselamatan Global menyokong penyelesaian perselisihan dan pertikaian antara negara melalui dialog dan rundingan, dan menyokong semua usaha yang kondusif bagi penyelesaian krisis secara damai.  

"China, sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan PBB, akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk membina konsensus antarabangsa yang menggerakkan kedamaian, menggalakkan penyelesaian isu Palestin kembali ke landasan yang betul, iaitu berpandukan 'penyelesaian dua negara'  agar isu tersebut diselesaikan secara komprehensif, adil dan berkekalan," kata Xi.