Malaysia Laksana Pengecualian Visa 30 Hari untuk Warga China

2023-12-01 19:35:43  CRI
Share with:

Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad mengumumkan pelaksanaan dasar pengecualian visa selama 30 hari untuk warga China bermula hari ini.

Norman berkata pihaknya juga mengalu-alukan dasar pengecualian visa yang ditawarkan China untuk warga Malaysia.

“Saya yakin ia merupakan kaedah paling penting bagi menyuntik konotasi substantif kepada hubungan bilateral yang sedia terjalin kukuh,” ujar beliau dalam sidang media di Beijing pada Jumaat.

Beliau menganggap langkah berkenaan akan terus menggalakkan interaksi dan pertukaran dalam kalangan rakyat kedua-dua negara.

Menurutnya, kedua-dua pihak akan menganjurkan lebih banyak aktiviti pertukaran sempena jubli emas ikatan diplomatik pada tahun depan, yang bakal mendorong hubungan dalam pelbagai bidang termasuk sektor pelancongan.

Norman berkata Malaysia merupakan antara negara paling awal menyokong Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan telah menjalankan banyak kerjasama yang berhasil dengan China dalam rangka inisiatif itu.

Tambah beliau, China merupakan rakan ekonomi amat penting bagi Malaysia, sementara Malaysia selaku rakan kongsi yang boleh dipercayai bagi China mengalu-alukan lebih banyak pelaburan dari negara Tembok Besar.

Malaysia dilaporkan menerima ketibaan 1.02 juta pelancong dari China dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini. Pengecualian visa 30 hari kepada pelancong China mulai 1 Disember 2023 hingga 31 Disember 2024 dijangka melonjakkan lagi jumlah kemasukan pelancong dari China.