China Seru Dunia Kukuhkan Tekad Tangani Perubahan Iklim

2023-12-02 14:48:09  CRI
Share with:

China sentiasa menepati janji dan membuat sumbangan yang signifikan kepada tadbir urus iklim global.

Demikian ujar Naib Perdana Menteri China Ding Xuexiang ketika berucap pada Sidang Kemuncak Tindakan Iklim Dunia sempena Persidangan ke-28 Pihak-Pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) atau COP28 di Dubai.

Ding berkata China giat mendorong kolaborasi antarabangsa membabitkan pembangunan hijau, revolusi tenaga dan usaha menangani perubahan iklim, serta menyokong negara membangun mengukuhkan keupayaan dalam mengatasi perubahan iklim.

Beliau menekankan perlunya semua pihak mengukuhkan tekad dan keupayaan tatkala berdepan cabaran perubahan iklim, di samping mempraktikkan multilateralisme serta mematuhi objektif dan prinsip ditetapkan dalam UNFCCC dan Perjanjian Paris.

"Sinergi perlu dibentuk untuk mempercepat transformasi hijau, meningkatkan perkadaran penggunaan tenaga boleh diperbaharui, mempergiatkan penggunaan tenaga tradisional secara bersih dan rendah karbon, sekali gus membentuk kaedah pengeluaran dan gaya hidup yang mesra alam," ujar beliau.

Ding menambah, negara maju harus meningkatkan sokongan kepada negara membangun dari segi kewangan, teknologi dan pembinaan keupayaan ke arah menterjemahkan visi menjadi kenyataan menerusi tindakan konkrit.