Tinjauan CGTN: Lebih 90 Peratus Responden Gesa Britain Kembalikan Artifak Jarahan

2023-12-02 21:09:14  CRI
Share with:

Muzium British menarik perhatian khalayak ramai susulan Greece menuntut Britain memulangkan artifak miliknya yang disimpan di muzium itu.

Satu tinjauan pendapat umum membabitkan warganet seluruh dunia yang dijalankan Rangkaian Televisyen Global China (CGTN) mendapati 80.8 peratus responden berpendapat artifak dirampas dari luar negara yang disimpan di Muzium British tidak mempunyai justifikasi sama sekali.

Sementara itu, 90.3 peratus responden menganggap artifak yang dirampas melalui penjajahan dan perang perlu dikembalikan kepada negara pemilik asal seawal mungkin.

Sejak sekian lama, banyak negara termasuk Greece, Nigeria, Ethiopia, Mesir dan Chile tidak pernah berhenti menuntut pemulangan tinggalan sejarah yang dirampas, namun Britain menolak berbuat demikian dengan dalih 'melindungi keselamatan artifak'.

Menurut keputusan tinjauan CGTN, 91.1 peratus responden membantah amalan kerajaan Britain itu dan menganggap ia tidak munasabah dan tidak sah.

Selain itu, 92.3 peratus responden mengggesa Britain mengambil berat terhadap tuntutan pelbagai negara dan memberi respons kepada keprihatinan masyarakat antarabangsa dengan sikap dan tindakan yang bertanggungjawab.  

Pada bulan Ogos lalu, kira-kira 2,000 koleksi di Muzium British dilaporkan hilang malah sesetengah daripadanya dijual menerusi Internet.

Mengenai peristiwa itu, 88 peratus responden melahirkan kebimbangan terhadap kemampuan Muzium British untuk melindungi artifak. Sementara, 91.1 peratus responden menganggap muzium itu patut memberi pampasan dan memikul tanggungjawab dari segi undang-undang terhadap artifak berkenaan.  

92.1 peratus responden pula menggesa supaya peraturan antarabangsa yang lebih mempunyai kuasa mengikat serta boleh dikuatkuasakan dapat ditetapkan, di samping menggerakkan pembentukan mekanisme berkaitan pengembalian artifak rampasan.