CUC, UNESCO Anjur Seminar Fokus Kebolehcapaian Maklumat OKU

2023-12-03 14:12:38  CRI
Share with:

Seminar antarabangsa mengenai kebolehcapaian maklumat dan komunikasi serta perlindungan hak asasi diadakan di Beijing pada Jumaat.

Seminar itu dianjurkan bersama oleh Universiti Komunikasi China (CUC) dan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sempena Hari Orang Kelainan Upaya (OKU) Antarabangsa. 

Wakil dari lebih sepuluh negara termasuk Malaysia dan Perancis hadir untuk membincangkan pendekatan bagi meningkatkan keterangkuman masyarakat terharap OKU dan menggalakkan kebolehcapaian maklumat serta pemerkasaan golongan berkenaan.

Presiden kehormat Institut Penyelidikan Kebolehcapaian Maklumat dan Komunikasi (RIICA) CUC, Prof. Liao Xiangzhong berkata pihaknya giat menggalakkan pemaksimuman hak dan kepentingan OKU melalui hasil penyelidikan dan praktik yang kukuh.

Beliau yang juga Setiausaha Jawatankuasa Parti Komunis China (PKC) di universiti itu menyatakan usaha berkenaan telah pun memenuhi keperluan OKU yang semakin meningkat dari segi rohani serta budaya, sekali gus menambahkan lagi rasa lega, bahagia dan selamat mereka.

Dalam pada itu, wakil pejabat UNESCO bagi rantau Asia Timur, Prof. Shahbaz Khan berkata UNESCO meletakkan kebolehcapaian maklumat di barisan hadapan dalam pembinaan masyarakat digital menerusi program 'Information for All'.

Seminar itu menyediakan platform yang berharga, kata beliau sambil menambah perbincangan berkenaan diharap dapat memberi inspirasi untuk membina masa depan digital yang lebih saksama dan inklusif, dan membolehkan peluang besar dicetuskan era digital dinikmati semua.