Ketua IEA Sifatkan China Sebagai Juara Dalam Pembangunan Tenaga Bersih

2023-12-05 14:47:49  CRI
Share with:

China melakar kemajuan yang cemerlang dalam pembangunan tenaga bersih yang melibatkan suria dan angin serta perkembangan kenderaan elektrik bateri (BEV). China merupakan juara dunia dalam bidang tenaga bersih, kata ketua Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Fatih Birol pada Isnin. 

Beliau berkata demikian pada sidang sampingan yang diadakan di Pavilion China semasa berlangsungnya Persidangan ke-28 Pihak-Pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) atau COP28 di Dubai.

Pada sidang sampingan yang bertema "Ekonomi Kitar Semula Membantu China Mengurangkan Pelepasan Karbon" itu, Fatih Birol memuji sumbangan China dalam menurunkan harga kemudahan tenaga bersih yang dilihat turut menyumbang kepada pembangunan tenaga bersih di negara-negara lain.  

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Ekologi dan Alam Sekitar China pada bulan Oktober, nisbah penggunaan tenaga bukan fosil telah mencatat 17.5 peratus dan jumlah kapasiti penjanaan kuasa elektrik menerusi tenaga boleh baharu mencecah 1,213 gigawatt di negara ini setakat akhir tahun 2022. Jumlah BEV untuk kegunaan harian di seluruh negara pula mencecah 16.2 juta unit setakat akhir Jun tahun ini.

Fatih Birol juga menyeru kerajaan, perusahaan dan pelabur pelbagai negara untuk menyokong transformasi yang menyasarkan penggunaan tenaga bersih yang dipercayai boleh membawa "peluang perindustrian dan pekerjaan baharu, keselamatan sumber tenaga yang lebih kukuh, udara yang lebih bersih, bekalan tenaga yang lebih relevan dengan manfaat umum dan iklim yang lebih selamat."