China Tunaikan Komitmen dalam Tangani Cabaran Perubahan Iklim

2023-12-06 16:03:43  CRI
Share with:

"Saya boleh nampak beribu-ribu kincir angin, panel suria dan peranti penyimpanan tenaga yang terpasang dan wayar elektrik yang terpasang tinggi yang berfungsi menghantar kuasa elektrik ke Beijing. Usaha China untuk menangani perubahan iklim sunguh mengagumkan."

Demikian kata Pengasas dan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Hubungan Amerika Syarikat-China, Neil Bush ketika mengisahkan fenomena yang dia nampak di padang pasir dan Gurun Gobi di bahagian barat laut China pada awal tahun ini.

Setakat akhir bulan September tahun ini, kapasiti penjanaan kuasa elektrik menerusi angin yang baru dibina di China menduduki tempat pertama di dunia untuk 14 tahun berturut-turut, sedangkan kapasiti keseluruhan pula menduduki tempat pertama di dunia untuk 13 tahun berturut-turut dengan menyumbang lebih separuh kepada pasaran global. Pada masa ini, hampir separuh daripada kapasiti penjanaan kuasa elektrik fotovoltaik yang terpasang di dunia berada di China, lebih separuh daripada kenderaan elektrik bateri (BEV) di dunia beroperasi di negara ini, dan satu perempat daripada kawasan penghijauan yang baharu di dunia berada di China...

Perangkaan tersebut jawapan baik untuk apa sebabnya sumbangan China menjadi tumpuan pelbagai pihak pada Persidangan ke-28 Pihak-Pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP28) yang diadakan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada masa ini.

Sebagai negara membangun terbesar di dunia, China telah memainkan peranan penting dalam mendorong termeterainya Perjanjian Paris dan penguatkuasaannya, dan juga bertindak konsisten dalam memperjuangkan matlamat jangka masa panjang. China telah menyenaraikan tindakan menangani isu perubahan iklim dalam strategi kebangsaan, membangunkan tenaga boleh baharu, membentuk sistem dasar "1 + N" bagi mencapai puncak pelepasan karbon dan neutral karbon, menggalakkan penyelarasan struktur industri, sumber tenaga dan pengangkutan serta menubuhkan pasaran yang meliputi pelepasan gas rumah hijau yang berskala terbesar di dunia. Pelepasan karbon dioksida China pada tahun 2022 menurun lebih daripada 51% berbanding tahun 2005, dan nisbah penggunaan tenaga bukan fosil meningkat ke 17.5%. Dalam tempoh sedekad yang lalu, penggunaan tenaga di negara ini berkembang pada kadar purata tahunan sebanyak 3% bagi menyokong pertumbuhan ekonomi sebanyak 6.2%.

Pada masa yang sama, China secara aktif menggalakkan kawalan perubahan iklim global dan memberikan sokongan dan bantuan kepada negara-negara membangun yang lain melalui kerjasama Selatan-Selatan. Setakat akhir bulan Jun tahun ini, China telah menandatangani 46 dokumen kerjasama Selatan-Selatan mengenai perubahan iklim dengan 39 negara membangun.

China akan terus memainkan peranannya dalam menangani isu perubahan iklim global. Amalan multilateralisme perlu dipraktik dan kerjasama antarabangsa yang berdasarkan prinsip 'tanggungjawab yang sama, namun berbeza' perlu ditegakkan dalam usaha menangani cabaran perubahan iklim. Khususnya, negara-negara maju yang menanggung tanggungjawab terhadap punca perubahan iklim dalam sejarah harus mengurangkan pelepasan karbon pada tahap besar terlebih dahulu selain menyediakan sokongan kepada negara-negara membangun dalam usaha berkenaan dari aspek kewangan, teknologi dan pembangunan keupayaan.

China akan terus menunaikan komitmennya dalam menyumbang kepada tadbir urus iklim global dan berusaha mencapai puncak pelepasan karbon menjelang 2030 serta neutral karbon menjelang 2060.