China Hurai Pendirian tentang Isu Palestin-Israel pada Sesi Khas WHO

2023-12-11 14:03:13  CRI
Share with:

Perkara yang mendesak buat masa ini  adalah untuk menggalakkan gencatan senjata dan menghentikan keganasan di Genting Gaza. 

China menyeru supaya pihak-pihak terbabit perlu bersikap tenang dan rasional supaya membolehkan rakyat tempatan boleh bernafas dalam suasana yang aman.

Seruan demikian disuarakan Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Chen Xu ketika menjelaskan pendirian dan tuntutan China mengenai isu Palestin-Israel pada sesi khas berhubung situasi kesihatan di wilayah Palestin yang diduduki yang diadakan oleh Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva, Ahad.

Chen berkata, masyarakat antarabangsa, terutamanya negara yang berpengaruh besar dalam isu Palestin-Israel digesa supaya memikul tanggungjawab bagi mendorong gencatan senjata dicapai secara menyeluruh untuk suatu jangka masa yang panjang, sambil bertindak pantas melindungi hak kehidupan dan kesihatan rakyat jelata.

Beliau menegaskan, adalah mustahak untuk menyelesaikan krisis kesihatan. Semua pihak harus berusaha sedaya upaya untuk memastikan keselamatan kakitangan perubatan dan kemudahan kesihatan, serta menyokong kerja WHO dan pertubuhan kemanusiaan lain.

"Perlunya menawarkan ubat-ubatan dan peralatan rawatan yang amat diperlukan, mengubati mangsa cedera dan melakukan penghantaran  tepat pada masanya, sementara menyalurkan sokongan kepada Palestin dalam pembinaan semula prasarana perubatan dan rawatan," kata beliau.

Chen menititberatkan bahawa 'penyelesaian dua negara' adalah satu-satunya pilihan bagi keluar dari jalan buntu sekarang ini.

"Rundingan damai Palestin-Israel patut disambung semula dengan secepat mungkin bagi memastikan 'penyelesaian dua negara' dilaksanakan secara benar-benar dan menyeluruh, serta membantu rakyat Palestin menikmati hak mereka seawal mungkin untuk menubuhkan negara, hidup dan kembali ke kampung halaman," tambah beliau.

Chen menegaskan lagi, sejak tercetusnya konflik pusingan ini, China telah menghulurkan bantuan berupa wang tunai kepada Palestin dan institut-institut di bawah PBB melalui pelbagai saluran, serta bahan makanan dan ubat-ubatan ke Genting Gaza. Negara Tembok Besar ini akan terus memberikan bantuan kemanusiaan kecemasan kepada rakyat Gaza berdasarkan keperluan mereka.