Perbualan Telefon Menteri Luar China-Iran Fokuskan Situasi Gaza

2023-12-12 14:54:40  CRI
Share with:

Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) yang juga Menteri Luar, Wang Yi mengadakan perbualan dengan rakan sejawatnya dari Iran, Amir Abdollahian melalui telefon pada Isnin.

Wang menyatakan bahawa China bersedia bersama Iran melaksanakan persepakatan yang dicapai oleh pemimpin kedua-dua negara dalam dua kali pertemuan pada tahun ini, yang melibatkan komitmen untuk mengukuhkan komunikasi, memupuk rasa saling percaya, meningkatkan kerjasama, memperkasa penyelarasan di platform multilateral antarabangsa, menjaga amalan multilateralisme yang sebenar, mengembangkan hubungan bilateral dengan stabil, sekali gus mempertahankan kepentingan negara-negara membangun dan keadilan masyarakat antarabangsa.

Menurut Wang, China menyokong Iran dan Arab Saudi terus memperbaiki hubungan bilateral, dan menggalakkan kerjasama dan perpaduan antara satu sama lain supaya dapat memastikan keselamatan dan keamanan serantau terjamin.

Beliau turut menegaskan pendirian China dalam isu konflik Palestin-Israel, iaitu mewujudkan gencatan senjata secepat mungkin, memastikan bantuan kemanusiaan dan memulihkan "penyelesaian dua negara". 

"Sebarang keputusan mengenai masa depan dan nasib Palestin harus berdasarkan kehendak rakyat Palestin, menghormati hak mereka dan mencerminkan prinsip "dimiliki, diterajui dan ditadbir rakyat Palestin," ujar Wang.

Sementara itu, Amir Abdollahian berkata pihaknya menyokong Inisiatif Keselamatan Global (GSI) yang dicadangkan oleh China, dan menantikan usaha China yang lebih aktif untuk membantu meredakan ketegangan dalam situasi di Semenanjung Gaza, dan menyumbang kepada penyelesaian isu berkenaan demi keamanan dan kestabilan serantau.