China, Vietnam Sepakat ke arah Komuniti Berkongsi Nasib Sesama Negara Berkepentingan Strategik

2023-12-13 14:55:57  CRI
Share with:

China dan Vietnam sepakat untuk menggembleng tenaga dalam usaha membina komuniti berkongsi nasib sesama negara yang membawa kepentingan strategik.

Kedua-dua negara mengumumkan kedudukan baharu jalinan hubungan dua hala selain bersetuju mewujudkan komuniti berkongsi nasib berasaskan pemerkasaan perkongsian kerjasama strategik komprehensif Beijing-Hanoi.

Pengumuman itu dibuat selepas pertemuan Presiden China Xi Jinping dengan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, Nguyen Phu Trong di Hanoi pada Selasa.

Xi turut mengetengahkan enam cadangan berhubung usaha sama membina komuniti berkongsi nasib sesama negara.

“Pertama sekali, perlunya mengekalkan haluan politik yang betul. China dan Vietnam harus mengikut bimbingan strategik peringkat tinggi, mengukuhkan pertukaran dan saling belajar dalam tadbir urus negara.

“Dua negara harus saling menyokong antara satu sama lain dalam isu berkaitan kepentingan teras dan keprihatinan utama masing-masing, dan bersama menegakkan kesaksamaan dan keadilan antarabangsa,” kata Xi.

Kedua-dua pihak harus memperkukuh rasa saling percaya dari aspek keselamatan, kata Xi sambil menambah bahawa China tegas menyokong Vietnam dalam mengekalkan kestabilan sosial dan perpaduan etnik.

“Kami (China) yakin, pihak Vietnam akan terus menyokong kami dalam usaha penyatuan semula tanah air dan menolak campur tangan dari luar,” ujar beliau.

Menyebut tentang kerjasama yang substantif, Xi berkata China bersedia untuk berkongsi peluang dengan Vietnam serta mewujudkan pembangunan bersama.

“Vietnam dialu-alukan untuk membuat penyelarasan dengan lapan langkah utama mengenai pembinaan berkualiti dalam kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), di samping memperluas kerjasama dalam bidang baru muncul seperti ekonomi digital dan pembangunan hijau,” kata Xi.

Presiden China juga menyeru supaya lebih banyak input diberikan untuk mengukuhkan sokongan dari peringkat akar umbi terhadap persahabatan China-Vietnam.

“Kerjasama dua hala lebih menfokuskan kepada bidang berkaitan kesejahteraan rakyat, seperti pertanian, pendidikan dan perubatan, selain daripada golongan belia, pelancongan dan peringkat daerah.

“Hendaklah meningkatkan persefahaman antara rakyat terhadap komuniti berkongsi nasib serta tali persahabatan yang terjalin sejak sekian lama antara dua negara,” ujar Xi.

Beliau turut menyatakan China dan Vietnam harus bekerja rapat dalam isu antarabangsa dan serantau, serta mengawal perselisihan berhubung isu maritim.

Dalam pada itu, Trong meluahkan hasrat pihak Vietnam untuk bekerjasama dengan China ke arah komuniti berkongsi nasib yang berkepentingan strategik.

Menurut beliau, kerjasama dua negara membabitkan politik, ekonomi, dagangan, keselamatan dan sektor bukan kerajaan akan diperkasa lagi sehingga menjadi contoh sama menang.

Trong menyatakan ia selaras dengan kepentingan kerajaan dan rakyat kedua-dua negara.

Pertikaian maritim hanyalah sebahagian daripada hubungan Vietnam-China, kata beliau sambil mengatakan bahawa kedua-dua pihak boleh mengendalikannya dengan baik berasaskan prinsip saling mempercayai dan saling menghormati.