Ekonomi China akan Beri Lebih Banyak Peluang kepada Pelabur Asing
China ialah entiti ekonomi kedua terbesar di dunia. Oleh itu, hala tuju dasar ekonominya menarik perhatian seluruh dunia.
Mesyuarat Kerja Ekonomi Pusat China telah diadakan di Beijing pada 11 hingga 12 Disember lalu. Mesyuarat itu menggariskan landskap kerja ekonomi China bagi tahun 2024, sekali gus memperlihatkan kesungguhan negara ini yang menggunakan pembangunan sendiri untuk mendorong pemulihan ekonomi global.
Mencari pembangunan sambil mengekalkan kestabilan adalah datang dari praktis ekonomi China. Ekonomi China mencapai pemulihan sejak langkah kawalan COVID-19 dioptimumkan. "Pulih dan kian baik" menjadi kata kunci tahun ini.
Dalam tiga suku tahun pertama tahun ini, ekonomi China menyaksikan peningkatan sebanyak 5.2 peratus, mendahului entiti-entiti ekonomi utama di dunia.
Beberapa institusi antarabangsa menganggarkan bahawa sumbangan China terhadap pertumbuhan ekonomi dunia tahun ini akan melebihi 30 peratus. China kekal sebagai enjin terbesar ekonomi dunia.
Mesyuarat kerja ekonomi pusat China menegaskan bahawa China akan terus melaksanakan dasar fiskal yang proaktif dan dasar monetari yang berhemat. Daripada orientasi dasar ekonomi China tahun depan, orang ramai dapat melihat kestabilan dan kesinambungan yang amat diperlukan dunia.
Sejak awal tahun ini, pegawai-pegawai kanan daripada beberapa syarikat transnasional seperti Tesla, J.P. Morgan Chase, Apple, dan Qualcomm melawat China. Apa yang menjadi tumpuan mereka adalah pasaran gergasi di negara ini.
Dalam tempoh tiga suku tahun pertama tahun ini, perbelanjaan penggunaan China menyumbang 83.2 peratus kepada pertumbuhan ekonomi. Laporan oleh Institut Penyelidikan Bank China mengunjurkan bahawa penggunaan China dijangka akan mengekalkan trend pemulihan pada tahun 2024, dan terus memainkan peranan sebagai penstabil bagi pertumbuhan ekonomi.
Menurut mesyuarat tersebut, kerja ekonomi China pada tahun depan akan memberi tumpuan kepada usaha merangsang permintaan domestik, menstabilkan dan memperluas penggunaan tradisional, serta memupuk dan mengembangkan penggunaan baharu. Langkah-langkah berkaitan diyakini akan memberi lebih banyak peluang kepada pelabur asing.