Lonjakan Hubungan China-Vietnam, Aspirasi Bersama Rakyat Kedua-dua Negara

2023-12-15 14:46:05  CRI
Share with:

Presiden China Xi Jinping mengadakan lawatan rasmi ke Vietnam pada 12 hingga 13 Disember lalu. Sempena lawatan itu, pemimpin kedua-dua negara mengumumkan keputusan tentang pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Vietnam yang berkepentingan strategik, sekali gus membawa hubungan kedua-dua parti dan negara ke fasa pembangunan baharu. 

Agensi Berita Vietnam dalam laporannya menyifatkan lawatan Presiden Xi kali ini sebagai "batu tanda baharu dalam sejarah hubungan kedua-dua negara", dan memperlihatkan komitmen dan keazaman untuk memberi limpahan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

Komuniti berkongsi nasib China-Vietnam merupakan hasil pembangunan hubungan perkongsian strategik komprehensif kedua-dua negara selama 15 tahun. Ia juga bermakna tahap lebih tinggi hubungan kedua-dua negara dari pelbagai aspek, termasuk rasa saling percayai politik, kerjasama keselamatan, kerjasama pragmatik, asas hubungan dalam kalangan rakyat, koordinasi dan penyelarasan pelbagai hala, serta kawalan perselisihan pendapat. "Tahap lebih tinggi" dalam enam aspek tersebut menggariskan hala tuju bagi pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Vietnam. 

Ketika bertemu dengan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam Nguyen Phu Trong, Xi Jinping menganjurkan beberapa cadangan bagi mendorong pembinaan komuniti tersebut, antaranya termasuk "menetapkan arah dalam politik", "merapatkan rasa saling percaya dalam keselamatan", "menaik taraf kerjasama pragmatik", "mengukuhkan asas hubungan sesama rakyat", "meningkatkan penyelarasan dalam isu serantau dan antarabangsa", serta "mengawal perselisihan pendapat dalam isu melibatkan Laut China Selatan". 

Kerjasama ekonomi dan perdagangan yang berprestasi baik adalah komponen penting dalam hubungan China-Vietnam. Penglibatan syarikat China dalam pelbagai projek utama di Vietnam turut menyumbang kepada pertumbuhan sosioekonomi tempatan. Menurut statistik, China kekal sebagai rakan dagang terbesar bagi Vietnam selama 16 tahun berturut-turut, manakala Vietnam menjadi rakan dagang terbesar China di ASEAN dan rakan dagang keempat terbesar China di peringkat global. 

Dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini, jumlah dagangan antara China dan Vietnam mencatat RMB1.45 trilion (RM949.02 bilion), menokok 3.6 peratus tahun ke tahun. 

Pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Vietnam berkepentingan strategik akan menjadi titik permulaan baharu bagi hubungan kedua-dua negara. Sementara itu, ia juga diyakini akan membawa lebih banyak limpahan manfaat kepada rakyat, dan menyuntik tenaga positif kepada rantau Asia Pasifik, malah dunia.