ECRL Bakal Tingkatkan Ketersambungan Sepanjang Laluan Rel: MFA

2023-12-15 11:27:16  CRI
Share with:

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan menjadi fasiliti seumpama pertama yang menghubungkan pantai timur dan pantai barat Semenanjung Malaysia apabila siap sepenuhnya, sekali gus meningkatkan ketersambungan sepanjang laluan, menurut Kementerian Luar (MFA) China.

Jurucakap MFA Mao Ning berkata ECRL merupakan projek ikonik yang diusahakan bersama oleh China dan Malaysia di bawah rangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

“Ia antara projek infrastruktur pengangkutan tunggal terbesar yang dikendalikan syarikat China di luar negara. Projek itu kini berjalan lancar dan sudah separuh siap,” kata beliau semasa taklimat harian di Beijing pada Khamis.

Terdahulu, majlis perasmian pemasangan landasan laluan ECRL disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Kuantan.

Untuk itu, Mao menyatakan tahun ini menandakan ulang tahun ke-10 BRI dan perkongsian strategik komprehensif China-Malaysia.

"Mac ini, Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sepakat untuk membina komuniti berkongsi nasib China-Malaysia, menyingkap lembaran baharu hubungan dua negara.

"China dan Malaysia akan meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada tahun depan. Diharap kedua-dua negara terus memantapkan kerjasama praktikal dalam pelbagai bidang sehingga membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat,” ujar beliau.