Malaysia Sokong Keterbukaan China yang Menguntungkan

2023-12-20 17:01:50  CRI
Share with:

Jenama pertama Malaysia yang Satria kenali ialah Parkson. Pada 1997, Parkson membuka pasar raya yang agak mewah bagi Satria pada masa itu di kampung halaman Satria, Wuxi. Sebelum itu, hampir semua pasar raya adalah milik negara.

 

Sudah tentu pelaburan dari Malaysia masuk lebih dahulu ke bandar raya, seperti Beijing. Pada tahun 1984, Robert Kuok Hock Nien melabur lebih USD500 juta untuk membina World Trade Center dan Grand China Hotel di Beijing. Ini merupakan pelaburan asing yang paling besar bagi China yang belum lama membuka pintunya kepada dunia.

 

Sekarang kawasan ini dipanggil Kawasan Perniagaan Pusat (CBD) di Beijing. Pelaburan dari Malaysia telah membantu pembangunan China pada zaman itu, dan seterusnya membawa faedah yang luar biasa kepada Malaysia hingga hari ini. Terus terang, Satria pula sangat terkejut ketika diberitahu hotel yang tersohor di Beijing dan dinamai “Grand China” sebenarnya milik Malaysia!

 

Pelaburan Malaysia ke China terus meningkat sehinggalah krisis kewangan yang melanda Asia Tenggara pada hujung abad ke-20. Selepas itu, perdagangan dan pelaburan China ke Malaysia mulai meningkat.

 

Sebelum 2018, Malaysia menjadi rakan dagang terbesar bagi China di ASEAN selama lebih 10 tahun. Pelaburan China ke Malaysia pula melebihi USD100 juta pada tahun 2003 dan terus meningkat, sehingga mengekalkan status sebagai pelabur asing terbesar bagi Malaysia sejak 2016.

 

Kerjasama bilateral yang signifikan pada beberapa tahun kebelakangan ini berkembang khususnya dalam bidang EV dan tenaga baharu, selain projek mega seperti ECRL.

 

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mencadangkan kerjasama dalam empat bidang untuk memperkasakan masyarakat dalam ASEAN, termasuk kesihatan awam, pengawalan perubahan iklim, pengurusan bencana dan pertukaran antara rakyat dengan rakyat. Pelaburan dari China sedikit sebanyak telah menyumbang untuk membantu Malaysia serta Komuniti ASEAN mewujudkan sasaran tersebut.

 

Melalui kerjasama dengan Geely, Proton mengeluarkan kenderaan tenaga baharu pertama, iaitu X90 pada tahun ini. Sebenarnya, staf kumpulan pertama dari Proton telah dihantar ke China seawal 2022 untuk mempelajari pengurusan dan pengeluaran EV.

 

Geely Global menyatakan komitmen untuk membuat pelaburan tambahan sebanyak USD10 bilion lagi untuk melengkapkan ekosistem EV di Malaysia bagi membantu merealisasikan sasaran pengeluaran EV buatan tempatan menjelang 2025. Hal ini lebih cepat berbanding kerajaan Jepun yang berjanji menyediakan USD1 bilion untuk membantu ekosistem EV di seluruh ASEAN.

 

Selain teknologi matang dan dana untuk mengembangkan EV, China dan Malaysia juga telah bekerjasama meneroka tenaga baharu yang lain, seperti hidrogen.

 

POWERCHINA telah memeterai kontrak dengan Semarak Renewable Energy Malaysia untuk projek pengeluaran dan penyimpanan hidrogen dengan penjanaan kuasa fotovoltaik terapung di tasik bekas lombong bijih timah di Perak. Usaha ini memperlihatkan sikap bertanggungjawab serta tindakan pragmatik kedua-dua pihak untuk mengurangkan pelepasan karbon bagi menangani perubahan iklim global.

 

Seperti yang dikatakan oleh Presiden Xi Jinping, keterbukaan China tidak mungkin ditamatkan, malah akan diteruskan. Keterbukaan China merangsangkan pembangunan domestik pada hujung abad ke-20. Keterbukaan berkualiti tinggi buat masa ini pula mengongsikan hasil pembangunan China dengan dunia.