Wakil Tetap China di PBB: Gencatan Senjata Prasyarat bagi Semua Tindakan Selanjutnya di Gaza

2023-12-20 13:14:49  CRI
Share with:

Wakil tetap China ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Zhang Jun, pada mesyuarat terbuka Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengenai isu Palestin-Israel pada Selasa menegaskan bahawa gencatan senjata tetap menjadi prasyarat bagi semua tindakan selanjutnya di Semenanjung Gaza.

Zhang Jun berkata hanya dengan gencatan senjata barulah dapat menghindari lebih banyak kecederaan dan korban penduduk awam termasuk tebusan, serta mengelakkan konflik serantau daripada berleluasa dan prospek penyelesaian secara politik daripada dimusnahkan sepenuhnya. Majoriti masyarakat antarabangsa sudah pun berulang kali menggesa gencatan senjata dilaksanakan segera di Gaza. Walau bagaimanapun, pihak Israel tetap tidak menghentikan operasi ketenteraan yang sama sekali tidak beralasan munasabah dengan mengekalkan pengeboman dan serangan terhadap sasarannya yang termasuk sekolah, hospital, kem pelarian dan lain-lain. China mendesak Israel untuk segera menghentikan serangan ketenteraan sewenang-wenangnya dan menghentikan tindakan yang bersifat 'menghukum secara kolektif' terhadap penduduk awam di Gaza.

Zhang Jun berkata bahawa Emiriah Arab Bersatu, bagi pihak negara-negara Arab, mengemukakan draf resolusi  UNSC yang baharu yang bertujuan untuk menangani masalah akses kemanusiaan dan mengurangkan malapetaka kemanusiaan di Gaza.  Draf resolusi itu mendapat sokongan majoriti anggota UNSC. China sebagai pengemuka bersama kepada draf resolusi tersebut, menggesa anggota UNSC berkenaan mengamalkan sikap konstruktif dan menyokong UNSC dalam mengambil tindakan yang segera dan bermakna untuk menyelamatkan nyawa.   

Zhang Jun berkata bahawa "penyelesaian dua negara" merupakan satu-satunya jalan keluar untuk menyelesaikan isu Palestin-Israel, dan ia juga merupakan konsensus masyarakat antarabangsa. China mencadangkan untuk mengadakan persidangan damai antarabangsa pada skala dan linkungan yang lebih besar serta lebih berkesan untuk menggalakkan pembentukan jadual waktu dan peta jalan bagi melaksanakan dengan bersungguh-sungguh “penyelesaian dua negara”.