China, Rusia Anjur Pertemuan Berkala ke-28 Ketua Kerajaan

2023-12-20 12:36:09  CRI
Share with:

China bersedia bersama Rusia mengambil peluang daripada ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik pada tahun depan bagi memastikan konsensus dicapai pemimpin kedua-dua negara dilaksanakan dengan baik dan ikatan persahabatan terus disemarakkan.

Demikian ujar Perdana Menteri China Li Qiang ketika mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya Mikhail Mishustin pada pertemuan berkala ke-28 ketua kerajaan China dan Rusia di Beijing, Selasa.

Li meluahkan hasrat pihak China mahu bekerjasama dengan Rusia untuk menggalakkan hubungan bilateral melakar kemajuan baharu, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta menyuntik lebih banyak kestabilan dan tenaga positif buat dunia.

Mishustin pula berkata pihaknya ingin mengukuhkan kerjasama dengan China dalam bidang ekonomi, perdagangan, tenaga dan pelaburan, memperkasa pertukaran sosiobudaya, mempererat komunikasi dan penyelarasan dalam mekanisme multilateral seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan BRICS, sekali gus melonjakkan perkongsian koordinasi strategik komprehensif dua negara ke tahap lebih tinggi.

Kedua-dua pihak sependapat bahawa China dan Rusia harus memperluas hubungan perdagangan serta kerjasama dalam bidang pertanian, dan mewujudkan persekitaran perniagaan lebih kondusif untuk perusahaan satu sama lain.

Selain itu, sinergi juga perlu dibentuk untuk melindungi keselamatan tenaga kedua-dua negara, meningkatkan pertukaran personel dan kerjasama di peringkat setempat sambil memastikan keselamatan dan kestabilan rantaian perindustrian dan bekalan.