China, Nicaragua Jalin Perkongsian Strategik

2023-12-20 16:35:59  CRI
Share with:

Presiden China Xi Jinping mengadakan perbualan dengan rakan sejawatnya dari Nicaragua, Daniel Ortega menerusi telefon pada Rabu.

Dua pemimpin itu mengumumkan penjalinan perkongsian strategik antara China dengan Nicaragua secara rasmi.

Xi berkata sejak hubungan diplomatik dipulihkan dua tahun lepas, China dan Nicaragua teguh menyokong satu sama lain dalam isu-isu melibatkan kepentingan teras dan keprihatinan utama, di samping menyaksikan kerjasama pragmatik diperluas secara menyeluruh.

China bersedia memperkasa pertukaran pengalaman dengan Nicaragua dalam pentadbiran negara dan pembasmian kemiskinan, dan mengalu-alukan Nicaragua mengambil bahagian dalam pembangunan bersama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) ke arah yang berkualiti tinggi.

Xi menyifatkan perjanjian perdagangan bebas China-Nicaragua yang bakal berkuat kuasa pada 1 Januari depan sebagai hasil kerjasama yang mempunyai makna signifikan. 

Kedua-dua negara disaran memanfaatkan perjanjian itu untuk terus meningkatkan skala dan taraf perdagangan dua hala.

Sementara itu, China juga menggalakkan perusahaan domestik melabur di Nicaragua dan bersedia memperkasa solidariti dan sinergi dengan negara itu dalam urusan antarabangsa.

Ortega pula berkata pihaknya amat menghargai hubungan persahabatan dengan China, menjunjung prinsip satu China, dan menyokong inisiatif kerjasama global yang diajukan Presiden Xi termasuk BRI.

Nicaragua berhasrat memperdalam ikatan persahabatan dan memperkasa kerjasama multilateral dengan China, menentang campur tangan luar dan politik kuasa, dan bersama mendorong pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan.