China Gesa Filipina Kendalikan Situasi Maritim dengan Kaedah Betul

2023-12-21 13:17:33  CRI
Share with:

Menteri Luar China, Wang Yi menggesa pihak Filipina mengendalikan situasi maritim semasa dengan kaedah yang betul dalam perbualan menerusi telefon dengan rakan sejawatnya dari Filipina, Enrique A. Manalo atas permintaannya pada Rabu. 

Wang memberi amaran bahawa jika pihak Filipina berdegil main kasar berdasarkan persepsinya yang salah terhadap situasi semasa, bahkan bersekongkol dengan "kuasa luar yang berniat jahat" untuk terus mencetuskan masalah, China akan terus bertindak tegas memelihara hak sendiri di sisi undang-undang dan membuat respons yang wajar.

Wang, yang juga ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China menyatakan, kesukaran serius yang dihadapi hubungan China-Filipina sekarang berikutan pihak Filipina mengubah pendirian dasarnya yang sedia wujud, membelakangi komitmennya, selalu mencetuskan masalah di perairan terbabit dan menjejaskan hak yang sah pihak China.

"Hubungan China-Filipina kini berada di persimpangan jalan dan masa depannya belum ditentukan. Pihak Filipina perlu berhati-hati mengambil tindakan seterusnya," kata Wang.

Wang menasihatkan pihak Filipina kembali ke landasan yang betul secepat mungkin bagi mengendalikan dan menguruskan keadaan maritim semasa dengan baik.

“Sebagai jiran yang bersempadan di laut, China dan Filipina harus menyelesaikan pertikaian melalui perundingan. Ini bukan sahaja kaedah pergaulan yang berkesan bagi negara jiran, tetapi juga pengalaman kondusif bagi menambahbaik hubungan China-Filipina.

“China sentiasa komited untuk menyelesaikan perselisihan melalui dialog dan perundingan untuk bersama-sama mengekalkan kestabilan maritim,” kata Wang.

Sementara itu, Manalo pula memperkenalkan pandangan pihak Filipina mengenai isu Terumbu Ren'ai dengan menyatakan harapan agar kedua-dua pihak mengawal perselisihan menerusi cara yang boleh diterima kedua-dua pihak bagi meredakan ketegangan situasi dan mencegah konflik.

“Pihak Filipina bersedia untuk meningkatkan dialog dengan China dengan sikap tulus ikhlas, dan memanfaatkan mekanisme komunikasi dua hala mengenai isu maritim bagi bersama-sama mencari penyelesaian,” katanya.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan mesyuarat Mekanisme Perundingan Dua Hala berhubung Laut China Selatan secepat mungkin dan secara aktif mewujudkan syarat yang baik untuk mesyuarat itu.