Tibalah Masa Balik ke Pangkal Jalan

2023-12-22 15:08:13  CRI
Share with:

Perbincangan telefon antara Menteri Luar China Wang Yi dengan rakan sejawatnya dari Filipina Enrique Manalo pada Rabu menjadi tumpuan tatkala hubungan Beijing-Manila menemui jalan buntu berikutan isu Laut China Selatan.

Wang berkata keadaan itu disebabkan Filipina mengubah dasar dan pendiriannya, mengingkari komitmen sendiri dan berulang kali melakukan provokasi di laut sehingga menjejaskan hak dan kepentingan sah China.

Beliau menegaskan, hubungan dua negara kini berada di persimpangan jalan dan Filipina mesti bertindak dengan berhati-hati.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hubungan China-Filipina kekal baik pada keseluruhannya.

Awal tahun ini, pemimpin kedua-dua negara mencapai banyak konsensus penting termasuk persetujuan untuk terus mengendalikan isu maritim dengan sewajarnya melalui perundingan. 

Namun, konsensus berkenaan tidak dilaksanakan dengan efektif. Penyebab utama ialah Filipina mengubah dasarnya terhadap China dan kerap kali mencetuskan masalah dalam isu Laut China Selatan.

Pemerhati beranggapan, pemimpin Filipina mahu mengukuhkan sokongan rakyat terhadap pentadbiran diri dengan memaparkan sikap keras dalam isu berkenaan.

Dari perspektif lain, dasar luar Filipina ternyata beralih kepada Amerika Syarikat (AS) berikutan penaiktarafan kerjasama dua hala dalam bidang keselamatan.

Sesetengah pihak di Filipina percaya, selain Perjanjian Pertahanan Bersama AS-Filipina yang boleh menjadi 'penangkal', Filipina mahu mengambil kesempatan daripada 'strategi Indo-Pasifik' AS untuk mencanangkan isu Laut China Selatan dan melobi lebih banyak kuasa luar rantau ikut terlibat supaya memberi tekanan kepada China.

Semasa perbincangan itu, Filipina menunjukkan hasrat untuk mengukuhkan dialog dengan China, mengoptimumkan mekanisme komunikasi mengenai isu maritim dan bersinergi mencari penyelesaian. 

Pihak China turut mengulangi pendirian bahawa pintu untuk berdialog dan berhubungan dengan Filipina takkan ditutup.

Tibanya masa balik ke pangkal. Filipina perlu melaksanakan segala komitmen yang dibuat dan bergerak sehaluan dengan China. Prospek hubungan Beijing-Manila terletak pada tindakan seterusnya negara itu.