Timba Pengalaman Dari Semua Negara dan Kekalkan Jalan Diri
Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Dasar Pandang Ke Timur yang melihat Jepun dan Korea Selatan serta China sebagai model pembangunan ekonomi baru-baru ini menarik tumpuan.
“Kita perlu terbuka untuk menyemak semula dasar sedia ada yang berusia 40 tahun ini,” kata Anwar kepada media Jepun, Asahi Shimbun.
Belajar dari negara maju merupakan jalan ke arah kejayaan semua negara, termasuk China. Ketika China berjuang ke arah modenisasi pada tahun 1960-an, mendiang Deng Xiaoping pernah mengemukakan teori “tidak kira kucing putih atau kucing hitam, yang mampu menangkap tikus adalah kucing yang baik.”
Kami belajar dari Amerika Syarikat, Jerman, Jepun, Korea Selatan, Singapura dan juga Malaysia yang merupakan antara “empat harimau Asia” pada 1980-an-1990-an. Tetapi, apa yang paling penting adalah menimba pengalaman mereka, lalu meneroka jalan sendiri berasaskan keadaan negara sebenar dan budaya tradisional sendiri.
45 tahun yang lalu, China melaksanakan dasar pembaharuan dan pintu terbuka demi pembangunan yang pesat. Kini China berjuang untuk mewujudkan modenisasi ala China menjelang 2035 dan menjadi negara moden yang kuat menjelang 2050. Dalam proses ini China akan terus menimba pengalaman dari pelbagai negara.
Tun Dr. Mahathir Mohamad mencetuskan Dasar Pandang ke Timur dalam tahun 1980-an sebagai strategi modenisasi ekonomi. Namun adalah tidak tepat jika Dasar Pandang Ke Timur ditakrif sebagai mengambil apa sahaja dari Jepun dan Korea Selatan untuk diamalkan di Malaysia dan mengetepikan teladan yang boleh dipelajari dari negara-negara lain.
Ketika melawat China pada tahun 2018, Tun Dr. Mahathir ada menyatakan kepada Presiden Xi Jinping bahawa Dasar Pandang ke Timur pada era baharu bersedia menimba pengalaman daripada kejayaan pembangunan China, terus menggalakkan inovasi dan kekreatifan, serta mewujudkan pembangunan diri.
Madani yang menyasarkan pembangunan Malaysia berasaskan enam tonggak; iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan adalah jalan yang menimba pengalaman dari negara lain, termasuk China, dan juga bersesuaian dengan keadaan negara dan budaya tradisional Malaysia.
Berikutan budaya tradisional yang mirip dan sama dalam rangka tamadun Timur, China dan Malaysia lebih mudah memahami jalan pembangunan dan menimba pengalaman dari pihak lain.
Ketika menerima kunjungan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Xi amat menghargai konsep Madani yang juga mengutamakan kepentingan rakyat dan pembangunan.
Beliau menegaskan, China bersedia bersama-sama Malaysia untuk mengangkat tinggi tamadun Asia, mengawal konsep berdikari secara strategik, mengekalkan hasrat kerjasama Asia Timur, menyokong kedudukan ASEAN dalam kerjasama Asia Timur, menentang Perang Dingin dan konfrontasi blok, selain bersama-sama membangunkan kampung halaman kita. Kedua-dua pihak juga akan memperdalam pertukaran tamadun China dan Islam, memelihara multilateralisme, keadilan antarabangsa dan kepentingan bersama negara-negara membangun, serta memberi sumbangan lebih besar untuk melengkapi pentadbiran global.