Kenapa Makin Banyak Syarikat Asing Bertapak di China

2023-12-23 16:29:25  CRI
Share with:

China mempunyai kelebihan dan prospek luas yang tidak dapat ditandingi pasaran lain di dunia. Demikian dinyatakan Naib Presiden Tesla Tao Lin yang turut menyifatkan pasaran China sebagai satu 'pilihan wajib' bagi pihaknya.

Projek kilang raksasa penyimpan tenaga Tesla dilancarkan di Shanghai pada Sabtu, sekali gus menjadi kilang seumpama pertama di luar Amerika Syarikat (AS).

Selain Tesla, makin banyak syarikat asing menubuhkan kilang mereka di China sejak awal tahun ini. Syarikat multinasional menzahirkan keyakinan terhadap pasaran China menerusi tindakan praktikal.

Menurut statistik terkini, terdapat 48,078 buah syarikat ditubuhkan dengan pelaburan asing di China pada 11 bulan pertama tahun ini, meningkat 36.2 peratus dari tahun ke tahun.

Sementara itu, sebanyak 386.65 bilion yuan (RM251.14 bilion) daripada modal asing diterima China adalah melibatkan sektor berteknologi tinggi, menyumbang 37.2 peratus kepada keseluruhan penggunaan modal asing.

Menurut pandangan pakar, trend pelaburan asing di China yang memberi tumpuan kepada sektor berteknologi tinggi dan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga selaras dengan pembangunan ekonomi negara ini ke arah berkualiti tinggi.

Ditinjau dari segi sumber pelaburan, sesetengah entiti ekonomi maju merupakan antara yang menyaksikan pertumbuhan pesat pelaburan di China.

Dalam pada itu, pelaburan Britain, Perancis, Belanda, Switzerland dan Australia di China masing-masing menokok sebanyak 93.9 peratus, 93.2 peratus, 34.1 peratus, 23.3 peratus dan 14.3 peratus. 

Angka itu merupakan bukti langsung yang menyangkal akhbar angin dicanangkan media Barat bahawa modal asing ditarik keluar dari negara Tembok Besar.

Selain pasaran raksasa, China juga mempunyai infrastruktur yang sempurna, rantaian perindustrian dan bekalan yang stabil, persekitaran perniagaan yang makin bertambah baik serta tenaga insan yang mencukupi. 

Semuanya memberi jaminan kepada operasi pengeluaran dan perniagaan syarikat asing, sekali gus menjanjikan keuntungan yang lumayan.

Dalam tempoh lima tahun lalu, kadar keuntungan pelaburan asing di China mencatat 9.1 peratus, jauh lebih tinggi daripada entiti ekonomi yang lain di dunia.

Makin banyak syarikat asing memilih China sebagai destinasi untuk melabur dan berniaga. Ia turut mencerminkan ekonomi China mengekalkan momentum ke arah baik dan negara ini tetap merupakan destinasi pelaburan yang hangat.