BRI, Inisiatif yang Amat Baik - Kata Bekas PM Belgium

2023-12-25 15:36:24  CRI
Share with:

Bekas Perdana Menteri Belgium Yves Leterme berkata pertukaran budaya amat penting untuk meningkatkan persefahaman dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual oleh Kumpulan Media China (CMG) di Guangzhou, baru-baru ini. 

Menyentuh tentang dasar pengecualian visa terhadap pengembara dari lima negara Eropah, yang mula dilaksanakan China baru-baru ini, Leterme berpendapat bahawa ia langkah yang amat baik.

Beliau berharap pelancong dari Belgium juga dapat menikmati pengecualian visa secepat mungkin supaya boleh masuk ke China dengan lebih senang.

"Pergerakan bebas individu dapat menyediakan peluang pertukaran baharu, sekali gus meningkatkan hubungan perdagangan, dan memperkasakan pertukaran dalam golongan pelajar, pensyarah, dan ahli penyelidik," kata Leterme.

Beliau pernah berkunjung ke China lebih daripada 20 kali, dan mempunyai minat besar terhadap negara ini.

"Saya berpeluang melawat banyak tempat di China. Apa yang meninggalkan kesan paling mendalam kepada saya pada mulanya adalah China giat membangunkan infrastruktur, seperti jalan raya dan kereta api. 

"Ini dapat dilihat di kawasan Teluk Besar, Shanghai, dan Beijing, dan kini meliputi seluruh China," ujar beliau.

Yves Leterme menyatakan bahawa apa yang memberikan kesan kepada beliau bukan sahaja skala pembinaan infrastruktur di China, bahkan juga kelajuan pembangunannya. 

Mengulas mengenai hubungan antara Kesatuan Eropah (EU) dan China, Yves Leterme menegaskan bahawa EU perlu mengekalkan dasar bebas dan berkecuali, sebaliknya bukan mengikuti pihak lain dan "cantas hubungan" dengan China. 

Tahun ini ialah ulang tahun ke-10 penganjuran inisiatif Jalur dan Lauan (BRI). Yves Leterme menyifatkan BRI sebagai inisiatif yang amat baik. 

"Tentang makna praktikal BRI, saya rasa bukti terbaik adalah projek serupa yang sedang didorong oleh EU iaiut program 'Global Gateway'. 

"Kesalinghubungan adalah amat penting. Sebagai orang Eropah, saya rasa BRI memainkan peranan penting dalam mempromosikan kesalinghubungan antara Eropah dan China melalui Asia Tengah," kata beliau.