Mengapa Rancangan Pembinaan Kilang Konglomerat di AS Tergugur atau Tertangguh?

2023-12-26 16:08:34  CRI
Share with:

Baru-baru ini, pembekal bateri bagi syarikat Tesla Amerika Syarikat (AS), syarikat Panasonic Jepun mengumumkan untuk menggugurkan rancangannya tentang pembinaan kilang pengeluar bateri di negeri Oklahoma AS selepas pertimbangan yang teliti. 

Ini merupakan satu cerminan dalam kecenderungan terkini di negara Uncle Sam. 

Sejak tahun ini, beberapa konglomerat antarabangsa telah menggugurkan atau menggantungkan rancangan untuk membina kilang di AS di sebalik kerajaan AS mengumumkan siri langkah rangsangan dan dasar subsidi untuk menarik perusahaan asing melabur dan membina kilang di negaranya.

Pada bulan Januari, syarikat LG Korea Selatan "menggantungkan bagi tempoh masa yang tidak terbatas" rancangan kerjasama dengan General Motors (GM) AS untuk membina sebuah kilang pengeluar bateri di AS; Pada bulan Julai, syarikat TSMC Taiwan mengumumkan menangguhkan jadual pengeluarannya di AS kepada tahun 2025 kerana kekurangan tenaga buruh yang berkemahiran tinggi; Pada bulan Oktober, syarikat Honda Motor Jepun mengumumkan menarik diri daripada rancangan untuk bekerjasama dengan GM AS untuk mengeluarkan kenderaan elektrik murah, dan syarikat Ford AS menggantungkan kerjasama dengan SK On Korea Selatan untuk mengeluarkan bateri di negeri Kentucky... 

Melihat dari segi kos pengeluaran terlebih dulu. Menurut syarikat Panasonic, kos  pembinaan kilang di negeri Kansas AS lebih tinggi berbanding yang dijangkakan, dan pihaknya mengalami kesukaran untuk membina satu kilang lagi di negeri Oklahoma. Ketua Pegawai Eksekutif Honda Motor, Toshihiro Mibe juga mengakui bahawa kos merupakan faktor penting bagi syarikatnya menggugurkan rancangan pembinaan kilang di AS.

Dari segi pulangan pelaburan. Untuk mendapatkan pulangan yang lumayan, sektor korporat pasti mengharapkan satu pasaran pengguna yang kukuh. Walau bagaimanapun, pada bulan Oktober lalu, syarikat Panasonic mengumumkan ramalan keuntungan untuk tahun fiskal ini  turun sebanyak 15% untuk jabatan tenaga yang mengeluarkan bateri kenderaan berikutan permintaan terhadap kenderaan elektrik mewah di Amerika Utara telah menurun.

Yang lebih penting lagi, syarikat-syarikat yang bersedia melaburkan dana pasti mengharapkan wujudnya persekitaran makroekonomi dan perniagaan yang stabil  dan kondusif bagi perkembangan jangka masa panjang. Menurut laporan media AS, rundingan antara syarikat LG  dengan GM AS terjerumus dalam kebuntuan. Sebahagian punca adalah kerana pegawai eksekutif LG bimbang akan prospek makroekonomi di AS. Baru-baru ini, Rizab Persekutuan AS mengurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi negaranya pada 2024 sebanyak 0.1 mata peratusan kepada 1.4%.

Bukan itu sahaja, AS juga bertindak mempolitikkan isu-isu ekonomi dan menambah pelbagai seksyen pelindung kepada dasar-dasar yang berkaitan, yang turut menjejaskan keyakinan dan semangat syarikat asing.

Apa yang lebih membimbangkan rakyat AS adalah kerajaannya secara paksa "menarik" industri berkenaan kembali ke negaranya. Ini bukan sahaja meningkatkan kos pengguna, tetapi juga meningkatkan inflasi ekoran perbelanjaan yang berjumlah besar. Media AS melaporkan bahawa pada Hari Krismas tahun ini, harga hadiah terus meningkat, lebih 1/3 penduduk tempatan memutuskan untuk melepaskan rancangan penghantaran hadiah, dan 42% pemilik syarikat kecil pula mengatakan tidak mampu membayar bonus Hari Krismas seperti biasa.