Li Qiang Hadir Mesyuarat Pemimpin Ke-4 Kerjasama Lancang-Mekong
Perdana Menteri China, Li Qiang telah menghadiri mesyuarat pemimpin ke-4 kerjasama Lancang-Mekong secara video di Zhongnanhai, Beijing pada petang semalam.
Mesyuarat tersebut dipengerusi bersama Li Qiang dan pemimpin Myanmar, Min Aung Hlaing dan dihadiri Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin, Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone dan Perdana Menteri Vietnam, Phạm Minh Chính.
Li mengemukakan empat cadangan melibatkan kerjasama Lancang-Mekong. Pertama, mengintensifkan pembangunan, mengekalkan kerjasama terbuka, bersama-sama merancang dan melaksanakan projek strategik kesalinghubungan serantau, mendorong penaiktarafan program kerjasama rentas sempadan dalam bidang ekonomi, perdagangam, kapasiti pengeluaran dan pertanian, melindungi keselamatan dan kestabilan rantai perindustrian dan pembekalan, meningkatkan kerjasama pembuatan pintar dan data raya. China akan menyediakan pinjaman khas bagi pembangunan bersama kerjasama Lancang-Mekong untuk menyokong pelaksanaan projek utama pelbagai negara.
Kedua, mendorong kerjasama hijau, menghormati hak dan kepentingan pelbagai negara dalam menggunakan sumber air. China bersedia membincangkan kerjasama tentang tadbir urus di kawasan aliran sungai Lancang-Mekong dengan pelbagai negara supaya dapat mendorong transformasi penggunaan sumber tenaga dan perlindungan ekologi.
Ketiga, meningkatkan tadbir urus dalam bidang keselamatan, meningkatkan penyelarasan dalam mengekalkan keselamatan yang bersama, komprehensif, kerjasama dan berterusan, mendorong pelaksanaan "kempen Lancang-Mekong yang selamat", membanteras kegiatan jenayah termasuk penipuan dan judi siber.
Keempat, mempergiat interaksi sosiobudaya. China menyokong penganjuran forum usahawan muda negara-negara Lancang-Mekong, bersedia membina think tank bersama-sama pelbagai pihak.
"Deklarasi Naypyidaw Mesyuarat Pemimpin ke-4 Kerjasama Lancang-Mekong", "Rancangan Tindakan Lima Tahun Kerjasama Lancang-Mekong (2023-2027)" dan "Inisiatif Bersama Pembinaan Koridor Inovasi Rantau Lancang-Mekong" telah diumumkan selepas mesyuarat tersebut.
Selain itu, Thailand bakal menyandang jawatan sebagai negara pengerusi bersama kerjasama Lancang-Mekong penggal seterusnya.