Hala Tuju China dalam Landskap Diplomasi Masa Depan

2023-12-30 16:34:22  CRI
Share with:

Mesyuarat Pusat mengenai Kerja Hal Ehwal Luar China diadakan di Beijing pada 27 hingga 28 Disember. Dalam mesyuarat yang dilihat sebagai “indikator mata angin” dasar luar itu, tampuk pimpinan China telah membuat rumusan terhadap pencapaian dan pengalaman diplomasi China pada sedekad lalu yang disifatkan sebagai permulaan era baharu, meneliti dan membuat penilaian terhadap persekitaran antarabangsa, menggariskan hala tuju diplomasi untuk masa depan yang berpaksikan pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan, di samping mengeluarkan dua pendekatan, iaitu multipolarisasi yang teratur dan globalisasi ekonomi yang inklusif.

Tahun ini genap 10 tahun sejak China mengemukakan konsep tentang pembinaan 'komuniti berkongsi nasib sesama insan'. Pada masa depan, China akan terus menggerakkan dan memacu diplomasi yang berpandukan konsep tersebut, yang dilihat menggambarkan nilai-nilai yang jauh berbeza dengan Barat dari persepsi universal dan susun atur. China bukan hanya berharap membangunkan negara sendiri dengan baik, tetapi juga berharap berkembang bersama dengan negara lain. Konsep ini dijangka akan menjana impak besar terhadap perkembangan dunia.

Apabila menegakkan wawasan tentang pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan, adalah perlu berwaspada dengan kesukaran dan cabaran yang sudah wujud. Dua pendekatan, iaitu multipolarisasi yang teratur dan globalisasi ekonomi yang inklusif yang dikeluarkan dalam mesyuarat tersebut merupakan sumbangan China untuk mengatasi siri cabaran besar yang dihadapi dunia.

Pada 1 Januari tahun 2024, mekanisme BRICS akan menyambut anggota baharu secara rasmi, dan “Selatan Global” akan menjadi lebih kuat. Selaku anggota semula jadi “Selatan Global”, China akan terus menyatu-padukan negara membangun lain, bersama-sama memartabatkan manifesto dan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), mengekalkan panduan asas dalam hubungan antarabangsa yang sudah menjadi kelaziman, mempraktikkan amalan multilateraliame yang benar-benar, di samping teguh meningkatkan tahap kebebasan dan kemudahan perdagangan dan pelaburan, dan berusaha agar menjadikan ekonomi yang sedang berkembang dan negara membangun semakin relevan dalam senario global serta semakin lantang dalam bersuara, demi memastikan pelbagai negara menikmati kesaksamaan dalam bidang hak, peraturan dan peluang.   

Dalam usaha pada masa depan, China akan menyumbang tenaga yang lebih banyak dalam menyempurnakan tadbir urus global dan memelihara kedamaian dan pembangunan dunia. Tidak syak lagi, dunia ini akan memanfaatkan perkembangan China yang lebih mengujakan.