Presiden Xi Sampaikan Perutusan Tahun Baharu 2024

2023-12-31 19:55:45  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping menyampaikan perutusan Tahun Baharu 2024 pada malam 31 Disember.

Tuan-tuan, puan-puan dan rakan taulan sekalian,

Salam sejahtera. Tenaga menaik selepas Solstis Musim Sejuk dan tahun akan berganti. Kita akan meninggalkan tahun lama dan menyambut tahun baharu.

Pada detik indah ini, saya ingin menyampaikan mogaan terbaik kepada anda sekalian dari Beijing.

Pada tahun 2023, dalam jalan terus berjuang dan maju ke depan, kita menempuh ujian dari angin dan hujan, sementara melihat pemandangan indah dan meraih banyak hasil yang menggalakkan. Kita ingat akan kesukaran sepanjang tahun yang lalu dan penuh keyakinan terhadap masa yang akan datang.

China maju ke depan dengan mengorak langkah-langkah yang tegas dalam sepanjang tahun ini. Pada tahun 2023, kerja pencegahan dan kawalan COVID-19 beralih ke fasa baharu, ekonomi negara kian pulih dan mantap, manakala pembangunan berkualiti tinggi semakin diperkasakan, dan sistem perindustrian moden dinaik taraf. Industri bertaraf tinggi, pintar dan hijau membangun dengan pesat dan menjadi industri tonggak yang baharu. Penghasilan bahan makanan mencapai tuaian lumayan selama 20 tahun berturut-turut. Air menjadi makin jernih dan gunung menjadi makin hijau. Pencapaian baharu diraih dalam pembangunan kawasan luar bandar. Pembangunan komprehensif di kawasan timur laut membuka lembaran baharu, pembinaan Kawasan Baharu Xiong’an mencapai kemajuan signifikan, sementara pembangunan di Jalur Ekonomi Sungai Yangtze dan Teluk Besar Guangdong-Hong Kong-Makau melakar prestasi yang menggalakkan. Ekonomi China berjaya mengatasi pelbagai kesukaran dan menjadi kian berdaya tahan dan kukuh.  

China maju ke depan dengan penuh bertenaga dalam sepanjang tahun lalu. Berkat dedikasi selama bertahun-tahun, pembangunan dipacu inovasi China memperlihatkan momentum kuat. Pesawat penumpang besar C919 digunakan dalam penerbangan komersial, kapal persiaran besar buatan China berjaya menyelesaikan ujian pelayarannya, kru kapal angkasa lepas Shenzhou menyelesaikan peralihan misi di orbit, kapal selam Fendouzhe berjaya menyelam ke ultra dalam di laut. Produk dan jenama China disambut baik pelanggan. Telefon bimbit jenama China laris dijual, kenderaan tenaga baharu (NEV), bateri litium dan produk fotovoltaik mengharumkan nama “buatan China”. Hasil inovasi baharu berkat usaha gigih dapat dilihat di merata-rata tempat di negara ini.

China maju ke depan dengan penuh bersemangat dalam sepanjang tahun lalu.

Universiade Chengdu dan Sukan Asia Hangzhou diadakan dengan jayanya, di mana para atlet beraksi cemerlang dan rekod dipecah satu demi satu. Tempat-tempat pelancongan dipenuhi pengunjung semasa pelepasan umum dan pasaran perfileman mencapai pemulihan memberangsangkan. “Pertandingan Bola Sepak Super di Desa”, “Gala Tahun Baharu di Desa” mendapat sambutan hangat. Kehidupan rendah karbon semakin diterima dan menjadi tabiat hidup yang popular. Suasana dinamik dapat dilihat dari kesibukan rakyat dalam mengejar kebahagiaan dan kesejahteraan.

Dalam sepanjang tahun lalu, China maju ke depan dengan penuh keyakinan. China merupakan sebuah negara besar yang mempunyai tamadun yang gemilang. Di wilayah yang luas negara ini, kepulan asap dari padang pasir di utara dan hujan renyai di selatan mengingatkan kita akan sejarah negara ini selama beribu-ribu tahun. Sementara Sungai Kuning yang mengalir berliku-liku dan Sungai Yangtze yang menderas ke timur selalu memberikan galakan dan inspirasi kepada kita. Sinar peradaban dilihat dari tapak tinggalan Liangzhu dan Erlitou, pewarisan perkataan oracle yang ditemui di tapak Yinxu, legasi budaya yang dijumpai di tapak Sanxingdui, koleksi di Arkib Penerbitan dan Budaya Negara menjadi saksi kepada pengembangan budaya China. Sejarah China yang panjang dan tamadun China yang gemilang ialah asas keyakinan dan punca kekuatan kita.

Di samping membangunan negara sendiri, China juga aktif menyumbang kepada pembangunan dunia, dan memikul tanggungjawab sebagai sebuah negara besar. Negara ini berjaya menganjurkan Sidang Kemuncak China-Asia Tengah, Forum Kerjasama Antarabangsa Jalur dan Laluan (BRF) edisi ketiga, menyambut kedatangan tetamu dan sahabat dari seluruh dunia. Selain itu, saya juga mengadakan lawatan ke negara asing, menghadiri persidangan antarabangsa di luar negara, menemui sahabat-sahabat lama dan baharu, berkongsi pandangan China dan meningkatkan persefahaman. Zaman berubah dan tahun berganti, pembangunan damai kekal sebagai arus perdana, manakala kerjasama saling untang kekal sebagai kebenaran yang dijunjung tinggi oleh semua.

Dalam menempuh jalan maju ke depan, adalah biasa ditimpa angin dan hujan. Sesetengah syarikat menghadapi tekanan dalam operasi, sesetengah rakyat berdepan kesusahan dalam mencari peluang pekerjaan dan dalam kehidupan, dan ada beberapa kawasan dilanda banjir, taufan dan gempa bumi. Semua ini saya cakna. Saya terharu melihat rakyat bantu-membantu, bergabung tenaga dan mengatasi kesukaran dengan tak mengenal takut. Semua rakyat, petani yang sibuk bertani di ladang, pekerja yang rajin bekerja di kilang, peneroka yang membuka keusahawanan, askar yang menjaga keselamatan tanah air, setiap individu mencurahkan sehabis baik dan memberi sumbangan yang luar biasa. Rakyat sentiasa boleh digantung ketika negara ini berusaha untuk mengatasi apa jua kesukaran dan cabaran.

Tahun 2024 merupakan ulang tahun ke-75 penubuhan Republik Rakyat China (PRC). Kita akan dengan tegas mempromosi modenisasi ala China, mengamalkan konsep pembangunan baharu secara lengkap, tetap dan komprehensif, mempercepat pembinaan paradigma pembangunan baharu, mempergiat pembangunan berkualiti tinggi, dan mencari pengimbangan antara pembangunan dengan keselamatan. Sementara itu, kita akan berusaha meneroka kemajuan di samping mengekalkan kestabilan, mempromosi kestabilan menerusi kemajuan, mendirikan yang baharu sebelum memecah yang lama. Kita akan memperkukuh dan memacu momentum pemulihan ekonomi supaya mewujudkan pertumbuhan mapan untuk jangka masa yang panjang. Kita akan meningkatkan dasar pembaharuan dan pintu terbuka, mengukuhkan keyakinan terhadap pembangunan, menguatkan kedinamikan ekonomi, meningkatkan peruntukan dalam pendidikan, sains dan teknologi dan pemupukan tenaga insan. Kita akan terus menyokong wilayah Hong Kong dan Makau memanfaatkan kelebihan masing-masing, dengan lebih baik berintegrasi dengan pembangunan negara, mewujudkan kemakmuran dan kestabilan untuk jangka masa panjang. China pasti akan mewujudkan penyatuan semula, dan saudara setanah air dari Tanah Besar dan Taiwan harus menggembleng tenaga dan bersatu supaya berkongsi kegemilangan kebangkitan nusa dan bangsa China.

Sasaran kita adalah memberangsangkan dan juga sederhana. Pendek kata ia adalah untuk memberikan kesejahteraan kepada rakyat. Kanak-kanak harus dijaga baik dan memperoleh pendidikan bermutu. Golongan muda harus mendapat peluang untuk mewujudkan nilai diri. Golongan warga emas harus memperoleh perkhidmatan perubatan dan sara hidup yang baik. Semua ini adalah isu berkaitan setiap isi rumah, dan juga keutamaan kerja kerajaan. Kita harus membulatkan tekad untuk menangani isu-isu tersebut dengan baik. Pada masa ini, dalam masyarakat yang berjalan dengan rentak hidup cepat, setiap individu sibuk dan menghadapi tekanan kerja atau hidup. Oleh itu, kita harus membina suasana masyarakat yang mesra dan harnomi, meluaskan ruang yang inklusif dan aktif untuk inovasi, mencipta persekitaran hidup yang mudah dan selesa, supaya rakyat hidup senang dan bahagia serta impian mereka dapat menjadi kenyataan.

Pada masa ini, konflik kekerasan dan peperangan masih melanda sesetengah tempat di dunia. Rakyat China amat tahu akan nilai kedamaian. China bersedia berusaha bersama masyarakat antarabangsa, berjiwakan masa depan manusia, mengutamakan kesejahteraan rakyat, mendorong pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan, dan membina dunia yang lebih indah.

Pada saat ini, pemandangan malam kelihatan indah dengan diserikan cahaya lampu dari jutaan rumah. Marilah kita bersama-sama mengharapkan negara kita makmur dan dunia aman tenteram. Semoga anda selamat sepanjang tahun, maju jaya dan sihat pada tahun yang baharu.

Terima kasih.