Pemimpin China, AS Bertukar Perutusan Tahniah Atas Ulang Tahun Ke-45 Ikatan Diplomatik

2024-01-01 13:42:42  CRI
Share with:

Presiden China Xi Jinping dan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS) Joe Biden saling mengirim perutusan tahniah atas ulang tahun ke-45 ikatan diplomatik kedua-dua negara, pada hari ini. 

Xi menyatakan, penjalinan hubungan diplomatik merupakan peristiwa penting dalam sejarah hubungan kedua-dua negara malah hubungan antarabangsa. Dalam tempoh 45 tahun lalu, hubungan China-AS berkembang maju setelah menempuh pelbagai ujian. Ia bukan sahaja memberikan kesejahteraan kepada rakyat kedua-dua negara, malah juga menyumbang kepada kedamaian, kestabilan dan kemakmuran dunia. 

Xi berkata, adalah terbukti oleh sejarah bahawa prinsip saling menghormati, wujud bersama secara damai, dan kerjasama saling untung merupakan kaedah betul bagi mengendalikan hubungan antara China dan AS, dan ia juga harus dijadikan pedoman kedua-dua negara pada era baharu. 

Xi menegaskan bahawa beliau bersedia bersama Presiden Biden untuk membimbing perkembangan hubungan dua hala supaya ia dapat memberikan lebih banyak limpahan manfaat kepada rakyat serta menyumbang kepada kedamaian dan pembangunan dunia. 

Biden menyatakan, sejak ikatan diplomatik terjalin pada tahun 1979, hubungan AS-China mendorong kemakmuran dan memberikan peluang kepada kedua-dua negara bahkan seluruh dunia. 

Biden menegaskan komitmen supaya mengendalikan hubungan yang penting itu, dan memajukannya berdasarkan konsensus yang dicapai oleh pemimpin kedua-dua negara.