Taraf Perniagaan di China Turun Atau Naik?
Hari pertama masuk kerja pada 2024, Satria membeli secawan kopi seperti biasa untuk menyuntik semangat selepas cuti Tahun Baharu.
Saya gemar minum Kopi Luckin sekarang. Tapi kalau tiga empat tahun yang lalu, saya suka minum Starbucks. Ini disebabkan pada masa itu pilihan minuman kopi di sini memang tidak banyak. Duduk di kedai Starbucks, sambil minum kopi sambil bekerja di depan komputer riba menjadi fesyen dan tanda “golongan berjaya”, meskipun harga secawan kopi Starbucks biasanya RMB30 (kira-kira RM20) ke atas.
Kopi Luckin membuka kedai pertama di Beijing pada 2018. Saya juga buat kali pertama mencuba kopi jenama tempatan ini pada tahun itu. Berbeza dengan Starbucks, kedainya kecil dan tiada tempat duduk. Pelanggan perlu menempah melalui aplikasi di telefon pintar dan bawa pulang atau memilih perkhidmatan penghantaran. Tapi harganya hanya separuh daripada Starbucks.
Kopi Luckin berkembang pesat pada beberapa tahun kebelakangan ini, kerana model operasinya lebih sesuai bagi majoriti staf yang bekerja dalam pejabat dan tiada masa lapang membawa komputer riba “bekerja” di kedai kopi.
Hingga tahun lalu, pesaing Kopi Luckin muncul, iaitu Kopi Cotti. Persaingan pasaran yang dahsyat terus menurunkan harga secawan kopi kepada RMB10(RM6.4). Starbucks pula terpaksa mengikuti trend pasaran, menyediakan perkhidmatan menempah melalui aplikasi dan menyediakan khidmat penghantaran kopi kepada pelanggan yang menunggu di tepi jalan.
Persaingan yang dahsyat menurunkan harga dan juga menambahbaikkan perkhidmatan. Sudah tentu ini tidak boleh disifatkan “penurunan taraf perniagaan” di China.
Pada masa yang sama, pasar raya Carrefour, jenama Perancis yang memasuki pasaran China pada tahun 1995 menutup semua kedainya di Beijing pada tahun 2023. Yang menewaskan pasar raya besar-besaran adalah perkhidmatan penghantaran. Golongan belia lebih senang menempah bahan makanan bahkan makanan sudah siap dimasak melalui platform dalam talian.
Perubahan yang menggemparkan juga sedang berlaku dalam pasaran kereta. Lebih ramai pengguna China memilih EV, seperti Tesla dan BYD. Ini disokong dengan fasiliti perkhidmatan EV yang semakin lengkap di China dan perkhidmatan tambahan EV yang jauh lebih banyak berbanding kereta tradisional. Dalam proses ini, banyak jenama domestik menonjol. Ini termasuk BYD, Geely yang dulu mengeluarkan kereta tradisional, juga ada jenama baharu seperti Xpeng, Li, NIO.
Adakah memilih jenama tempatan bermakna “penurunan taraf perniagaan”?
Baru-baru ini ada satu hantaran yang menjadi tular di media sosial China yang membandingkan harga EV jenama tempatan China dengan kereta tradisional jenama tersohor seperti Benz, BMW dan Audi, AITO M9 yang menggunakan sistem HarmonyOS 4 dari Huawei telah dijual lebih kurang RMB500 ribu, NIO ET9 kira-kira RMB800 ribu, manakala BYD U8 sudah melebihi RMB1 juta.
Ada netizen membuat komen bahawa jika tidak rajin kerja, hanya mampu membeli kereta Benz, BMW atau Audi saja pada masa depan.
Jelas, perniagaan di China bukan hanya tidak “turun taraf”, sebaliknya sedang mengalami kenaikan taraf atau revolusi.
Sebahagian modal asing mengurangkan pelaburan dan menarik diri daripada pasaran China kerana gagal menyesuaikan diri dengan gaya hidup baharu penduduk dan persaingan jenama tempatan di pasaran China.
Berdasarkan statistik, syarikat pelaburan asing menambah 48,078 pada Januari hingga November tahun 2023, meningkat 36.2% berbanding tahun 2022. Pelaburan asing di bidang pembuatan dan perkhidmatan teknologi maju meningkat dengan ketara.
Pasaran China yang besar, mewakili trend baharu dan penuh persaingan mempunyai daya tarikan yang unik bagi modal asing yang bersedia maju terus bersama-sama pasaran China.