Hutang Negara AS Capai Rekod Tertinggi

2024-01-05 13:45:06  CRI
Share with:

"Kau tak boleh bayangkan tekanan yang kami hadapi, umpama tali yang diikat pada leher semakin diketatkan." kata Carl, seorang penduduk biasa di Amerika Syarikat (AS). 

Disebabkan peningkatan hutang kerajaan dan kenaikan harga barangan, rakyat AS dibebani tekanan ekonomi yang amat besar pada tahun 2023.

Sudah jatuh ditimpa tangga. Statistik terkini yang diumumkan Jabatan Perbendaharaan AS menambah kebimbangan rakyat negara itu ketika tahun ini baru bermula. Menurut jabatan itu, setakat 2 Januari waktu tempatan, hutang awam kerajaan persekutuan AS untuk julung kalinya melepasi AS$34 trilion, iaitu hanya tiga bulan selepas hutang tersebut melebihi AS$33 trilion, dan lima tahun lebih awal berbanding jangkaan Pejabat Bajet Kongres. 

Apa maknanya hutang berjumlah 34 trilion dolar? Menurut perhitungan institusi berkaitan di AS, angka itu 20 peratus lebih tinggi berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS, bersamaan setiap warga AS berhutang sebanyak 100,000 dolar. Sekiranya setiap keluarga di negara itu menyumbang 1,000 dolar sebulan, ia akan mengambil masa 22 tahun untuk menyelesaikan hutang itu.

Bagaimana datangnya hutang negara AS yang begitu tinggi? Menurut pakar berkaitan, kerajaan AS mengedarkan bon negara untuk memperoleh dana dalam jangka masa panjang. Disebabkan kos pinjaman yang rendah, hutang negara seumpama bola salji yang menjadi semakin besar. Selepas tercetus wabak COVID-19, ekonomi AS bergelut dengan kesukaran. Untuk merangsang pemulihan ekonomi, kerajaan negara itu sekali lagi mengedarkan bon dalam jumlah yang besar dan ia menyebabkan kadar peningkatan hutang lebih tinggi berbanding jangkaan. Pada masa sama, langkah-langkah kawalan inflasi seperti kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (FED) sekali lagi meningkatkan kos pembayaran balik hutang oleh kerajaan. Ditambah dengan peningkatan perbelanjaan kerajaan dan pengurangan pendapatan cukai, jumlah hutang negara itu semakin meningkat. 

Dipandang dari sudut antarabangsa, dolar Amerika ialah mata wang utama. AS yang "berhutang melampau" akan turut menyebabkan pergolakan pasaran kewangan, sekali gus menjejaskan ekonomi dunia. Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen memberi amaran bahawa sekiranya AS gagal bayar hutangnya, ia akan memberikan kemudaratan serius kepada ekonomi AS bahkan dunia.

Menurut tinjauan pendapat umum oleh Fox News pada hujung tahun 2023, lebih tiga perempat pengundi berdaftar di negara itu memandang ekonomi AS sebagai kurang baik. Masalah ekonomi mengakibatkan krisis hutang negara berulang kali berlaku. Ia bukan sahaja menambah risiko kepada kestabilan masyarakat AS, tetapi juga membawa ketidakpastian kepada dunia.