China Kena Sekatan Terhadap Lima Syarikat Industri Ketenteraan AS

2024-01-07 14:58:17  CRI
Share with:

China memutuskan untuk mengenakan sekatan ke atas lima syarikat industri ketenteraan Amerika Syarikat (AS) sebagai tindak balas penjualan senjata AS kepada Taiwan serta sekatan Washington terhadap entiti dari China.

Jurucakap Kementerian Luar China mengatakan, AS secara terang-terangan membelakangi prinsip satu China dan tiga pengumuman bersama China-AS, khususnya Pengumuman 17 Ogos, berkeras menjual senjata kepada Taiwan China, serta mencari pelbagai alasan untuk mengenakan sekatan sepihak yang haram terhadap syarikat dan individu China. 

Beliau berkata, langkah AS tersebut menjejaskan dengan serius kedaulatan dan kepentingan keselamatan China, merosakkan kedamaian dan kestabilan di kawasan Selat Taiwan, menceroboh hak dan kepentingan syarikat dan individu China. China menentang keras langkah tersebut dan menzahirkan bantahan dan ketidakpuasan kepada AS.

Sehubungan itu, kata jurucakap tersebut, China memutuskan untuk mengenakan sekatan terhadap lima syarikat industri ketenteraan AS berdasarkan Undang-Undang Antisekatan Asing Republik Rakyat China. Lima syarikat terbabit ialah BAE Systems Land and Armament, Alliant Techsystems Operation, AeroVironment, ViaSat, dan Data Link Solutions. 

Langkah sekatan termasuk membeku harta syarikat-syarikat tersebut di China, dan melarang organisasi dan individu China berniaga atau bekerjasama dengan syarikat-syarikat tersebut.